Friday, September 28, 2007

Isu Rakaman Video,BPR Panggil Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah Bantu Siasatan...

Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah hadir ke ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya semalam, untuk membantu siasatan berhubung kes skandal video VK Lingam.

Beliau telah dihubungi oleh pegawai daripada BPR melalui telefon pada jam 2.30 petang semalam berhubung perkara itu.

Ini adalah berikutan laporan aduan berkenaan video rakaman perbualan peguam Lingam yang dibuat oleh Sivarasa pada Khamis lalu di pejabat BPR Wilayah Persekutuan.

Beliau yang hadir pada jam 11.30 pagi mula disoal siasat oleh Penguasa Kanan BPR, T Thilagawathy selama lebih dua jam.

“Soalan yang ditanya berkisar siapa dan bagaimana sumber video itu diperolehi. Saya cuma jawab yang saya tidak boleh mendedahkan maklumat pemberi sumber video itu di atas faktor-faktor keselamatan,” kata beliau kepada wartawan selepas tamat soal siasat pada jam 2.00 petang.

Katanya, beliau ada menceritakan secara ringkas kepada Thilagawathy bagaimana proses sumber video itu diperolehi.

“Tetapi nama siapa yang memberikannya tidak didedahkan. Beliau akan tampil jika sudah bersedia,” katanya.

Sivarasa memberitahu bahawa beliau berjumpa dengan pemberi sumber video dan menontonnya seminggu sebelum pendedahan dibuat kepada media.

Pendedahan video itu dibuat pada 19 September lepas oleh Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim di pejabatnya.

“Kemudian beberapa hari kemudian pemberi sumber tersebut berjumpa dengan Anwar dan Anwar menontonnya,” jelasnya.

Menurutnya, beliau berjumpa sekali lagi dengan pemberi sumber pada 18 September lepas.

Dalam pertemuan tersebut, pemberi sumber bersetuju untuk mendedahkan klip video selama 8 minit itu.

Menurutnya, beliau turut memberikan salinan transkrip untuk video tersebut bersama-sama beberapa komen kepada penguasa kanan tersebut bagi memudahkan pemahamannya.

“Tanpa komen, seseorang yang bukan peguam agak susah untuk memahami isi kandungan perbualan tersebut,” jelasnya.

Sivarasa memberitahu bahawa beliau cam orang yang dipaparkan dalam video tersebut adalah Lingam ketika ditanya oleh penguasa kanan tersebut tentang bagaimana mengetahui itu adalah Lingam.

Manakala ketika disoal tentang orang yang berbual dengan Lingam adalah Ketua Hakim Negara, Ahmad Fairuz Sheikh Halim, jawabnya, melalui kandungan perbualan tersebut memang jelas itu adalah Ahmad Fairuz.

“Dalam perbualan tersebut, Lingam turut menyebut yang beliau sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz,” ujarnya.

“Saya ada mencadangkan kepada penguasa kanan itu supaya melalui pegawai-pegawai teknikal untuk menyiasat panggilan telefon tersebut,” katanya.

Beliau berkata bahawa sepatutnya BPR perlu memulakan siasatan terhadap Lingam dan Ahmad Fairuz berhubung perkara itu.

Sivarasa turut diiringi oleh peguamnya, N. Surendran dalam membantu pihak BPR menyiasat video perbualan Lingam melalui telefon, dipercayai dengan Ahmad Fairuz pada tahun 2002.

Ahmad Fairuz ketika itu memegang jawatan Hakim Besar Malaya. (petikan drp www.suarakeadilan.com)