Saturday, September 22, 2007

Empat Puluh Buah Pondok Pengajian Islam Musnah Dijilat Api,Seratus Penghuni Hilang Tempat Tinggal....

Sik - Hampir seratus pelajar Pusat Pengajian Islam Pondok Bandar Hilir, Sik, Kedah kehilangan tempat tinggal apabila pondok yang dijadikan tempat mereka tinggal semasa belajar musnah dijilat api dalam satu kebakaran awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku pada pukul 3.40 pagi itu memusnahkan sama sekali 40 buah pondok kediaman pelajar lelaki daripada keseluruhan 80 buah pondok yang terdapat di Pusat Pengajian tersebut.

Ketika kejadian, hanya 30 orang pelajar yang berada di Pondok tersebut manakala baki selebihnya daripada jumlah keseluruhan 160 orang pelajar telah pulang bercuti di kampung masing-masing bersempena dengan bulan ramadhan.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan ekoran daripada kejadian tersebut.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sungai Petani, Chok Kuan Lok ketika ditemui di tempat kejadian berkata 22 anggota serta pegawai bersama dengan 3 jentera daripada Sik, Baling dan Guar Chempedak dihantar ke tempat kejadian dan tiba di situ pada pukul 3.59 pagi.

Pihak bomba mengambil masa selama 50 minit bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan lain dan keadaan dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 6.30 pagi.

Punca kejadian dan anggaran kerugian akibat daripada kebakaran tersebut masih lagi dalam siasatan pihak bomba.

Dalam pada itu, Setiausaha Pondok terbabit, Ustaz Ismail bin Hj Mahmud berkata pelajar-pelajar yang terlibat dalam kebakaran tersebut akan ditempatkan buat sementara waktu di bangunan sekolah yang terdapat di situ sebelum tempat tinggal baru dibina untuk mereka.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ustaz Ismail bin Hj Mahmud di talian 013-4884814 atau menyalurkan terus bantuan ke dalam akaun Bank Islam Pusat Pengajian Islam Pondok Bandar Hilir terbabit (Nombor Akaun: 02048010028139).