Saturday, September 29, 2007

Pembeli Rumah Desak Pemaju Serah Kunci


Kepala Batas - 89 pemilik rumah Taman Abdullah Fahim Fasa 4 Kepala Batas mendesak pihak pemaju menyerahkan kunci rumah mereka dan bertekad berpindah beramai-ramai memasuki rumah tersebut kerana tidak tahan dengan karenah pemaju perumahan terbabit.




Menurut mereka Koperasi Gabungan Negeri (KGN) yang bertindak sebagai pemaju perumahan tersebut sebelum ini telah berjanji, semua pemilik rumah terbabit boleh mendiami rumah berkenaan pada bulan Ogos lalu.

Mereka mendakwa sehingga kini apa yang dijanjikan 'bohong' semata-mata kerana dalam beberapa siri pertemuan dengan pemaju mereka asyik menyalahkan kontraktor, tetapi bila pertemuan dengan kontraktor mereka pula menyalahkan KGK kerana tidak menyalurkan kewangan.

Pertelingkahan antara kontraktor dan pemaju perumahan terbabit telah menyebabkan pembeli terpaksa menanggung kerugian kerana membayar hutang bank dan sewa rumah.

Pembeli merayu kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Ketua Bahagian mereka untuk membantu menangani masalah berkaitan dan berharap dapat menduduki rumah tersebut sebelum Hari Raya Aidil Fitri ini.

Projek yang bermula Mei 2002 itu dijanjikan siap sepenuhnya pada Disember 2004 lepas.