Wednesday, September 12, 2007

Petani Kecewa JPS Lepas Tangan

Sungai Petani - Lebih seratus petani di kawasan Merbok mengalami kerugian disebabkan anak padi yang baru ditanam mereka ditenggelami air sejak lebih sebulan yang lalu.Petani-petani yang terlibat adalah daripada Kampung Tempoyak, Kampung Bendang Dalam, Kampung Batu Hampar dan Kampung Sungai Baru, Merbok.

Masalah petani terbabit mula timbul apabila tebing parit tali air Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) yang terdapat di situ pecah dan menyebabkan air dari tali air berkenaan memasuki kawasan sawah padi mereka tanpa dapat dikawal.

Ketika ditemui, petani-petani yang terlibat menyuarakan rasa kecewa dengan keadaan tersebut kerana terpaksa menanggung kerugian ekoran daripada anak-anak padi yang ditanam tidak dapat tumbuh sepertimana biasa .

Menurut mereka, kawasan sawah yang ditenggelami air menyebabkan hampir keseluruhan anak-anak padi yang ditanam terapung dan dihanyutkan air ke tepi batas sawah manakala padi yang tumbuh akan rosak ataupun menjadi “Padi Lembik”

Menurut mereka lagi, masalah tersebut telah beberapa kali diajukan kepada pihak JPS Merbok dan JPS Daerah Kuala Muda tetapi sehingga kini masih tiada sebarang tindakan yang diambil.

Tinjauan Harian Utara ke kawasan terbabit mendapati tebing parit tali air yang dimaksudkan pecah dengan keluasan lebih daripada satu meter serta dipenuhi dengan air daripada parit tersebut.

Selain daripada itu, keadaan parit yang dipenuhi semak samun dan tidak diselenggara dengan baik turut menyebabkan air bertakung serta tidak dapat mengalir keluar daripada kawasan sawah padi mereka.