Monday, September 24, 2007

Lagi Isu Klip Video VK Lingam

KeADILan tegas mempersoalkan mengapa Datuk Seri Nazri Aziz perlu bercakap bagi pihak Ketua Hakim Negara Malaysia tentang skandal video yang sedang melandanya.

Respons ini hanya membangkitkan lebih banyak persoalan, termasuklah mengapa Ketua Hakim Negara tidak boleh mempertahankan integritinya sendiri.

Begitulah mesej yang disampaikan Sivarasa Rasiah, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, dalam kenyataan medianya kepada SuaraKeadilan.com hari ini.

Sivarasa menyebut tiga persoalan yang dibangkitkan respons Nazri itu.

Pertamanya, agak pelik dan luar biasa bagi seorang Ketua Hakim Negara untuk meminta seorang Menteri mempertahankan integritinya bagi pihak beliau.

Sivarasa juga mempersoalkan bila permintaan ini dibuat, yang tidak pula disebutkan Nazri.

Keduanya, Sivarasa berpendapat bahawa isi respons itu sendiri adalah pelik, dan sukar untuk dipercayai.

“Ini adalah kerana satu-satunya respons yang telah diberikan kepada rakyat oleh Ketua Hakim Negara sendiri, tanpa bantuan sebarang Menteri, hanyalah sekadar kenyataan ‘Tiada komen’ dalam tulisan semata-mata, iaitu dua hari selepas pendedahan dibuat,” katanya lagi.

Sivarasa juga menegaskan bahawa amatlah tidak elok untuk seorang ahli bidang Eksekutif - apatah lagi seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri – bercakap bagi pihak pegawai tertinggi bidang Kehakiman kita.

Pada hematnya, tindakan ini langsung mencabar kewibawaan prinsip pengasingan kuasa yang menjadi salah satu tunjang demokrasi kita.

“Respons luar biasa yang diberikan Menteri Nazri membawa dengannya satu soalan - adakah Tun Ahmad Fairuz tidak mampu mempertahankan integritinya sendiri?”

Bercakap mengenai cubaan Nazri mempersoalkan kebenaran video itu, Sivarasa menjawab bahawa persoalan ini sudah tentu dapat diselesaikan dengan senangnya jika siasatan penuh dilakukan oleh pasukan forensik yang berkebolehan.

Menurutnya lagi, soalan yang perlu dijawab sekarang ialah adakah Ketua Hakim Negara bercakap dengan VK Lingam pada tahun 2002, sebelum bulan Ogos tahun itu? Sivarasa menjelaskan bahawa bahagian perbualan tersebut yang menyebut melantik Tan Sri Mokhtar Abdullah sebagai Hakim Tinggi Malaya menunjukkan bahawa perbualan itu berlaku sebelum Tan Sri Mokhtar Abdullah terjatuh dan mengalami koma pada bulan Ogos 2002.

Katanya lagi, persoalan ini bukanlah sukar untuk dijawab, sedangkan rekod telefon mereka bagi tahun itu boleh diteliti oleh pasukan penyiasat.

“Jika kita ingin menyelamatkan integriti bidang kehakiman kita, salah satu daripada tiga tiang utama sistem pemerintahan kita, maka persoalan-persoalan ini seharusnya dijawab serta-merta,” tegas Sivarasa.

Menjawab pertanyaan Nazri tentang mengapa KeADILan telah pergi kepada media, bukannya polis dan BPR semata-mata, Sivarasa menjelaskan bahawa kandungan video tersebut bukan sahaja amatlah penting dari segi kepentingan awam, malah juga merupakan bukti kukuh yang langsung membenarkan dakwaan penyelewengan dalam perlantikan hakim-hakim, yang sememangnya sudah bertahun-tahun disebut merata.

Sivarasa juga pasti bahawa Nazri sedar bahawa kepercayaan rakyat terhadap polis dan BPR kini teramatlah rendah, lantas penelitian penuh rakyat jelata adalah perlu untuk memastikan pihak yang berkenaan bertindak dengan berkesan. Sehubungan itu, perkara ini juga akan dibawa Keadilan kepada Majlis Raja-Raja dan PM sendiri.

Menurut Sivarasa lagi, sekurang-kurangnya dua akhbar arus perdana, NST dan The Sun, yang telah memaparkan respons Nazri di muka hadapan mereka, bersikap kurang bertanggungjawab.

Mereka bukan sahaja gagal memberitahu pembaca tentang respons tertulis Ketua Hakim Negara yang lebih awal itu, malah juga memberikan gambaran yang agak palsu dengan tajuk yang mereka pilih, iaitu gambaran bahawa Ketua Hakim Negara sendirilah yang sedang memberikan respons, bukannya Nazri.( dipetik daripada http://www.suarakeadilan.com)


Sivarasa dipetik sebagai mengulas berikutan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, hakim berkenaan telah menghubungi beliau bagi membuat penafian itu. Menurutnya Hakim kanan, yang didakwa berbual dengan seorang peguam terkemuka mengenai pelantikan hakim-hakim pada 2002, telah menafikan bahawa beliau adalah orang yang dihubungi peguam terbabit dalam klip video yang disiarkan media internet, Malaysiakini, pada Selasa lepas.