Tuesday, September 4, 2007

Kementerian Tunggu Laporan Siasatan Kertas Peperiksaan UPSR Bocor

PULAU PINANG-Kementerian Pelajaran sedang menunggu laporan siasatan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengenai dua kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam yang didakwa bocor.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian memandang serius dakwaan kebocoran Kertas Bahasa Melayu Bahagian B dan Kertas 2 Matematik dalam peperiksaan yang diduduki murid Tahun Enam semalam.

"Saya sudah arah LPM buat siasatan secepat mungkin kerana mereka yang bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-40 Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (Seameo)-Pusat Serantau bagi Pendidikan Sains dan Matematik (Recsam) di sini, hari ini.

Ditanya kemungkinan murid yang mengambil kertas peperikaan itu perlu menduduki semula kedua-dua kertas peperiksaan berkenaan, Hishammuddin berkata ia bergantung kepada keadaan.

"LPM cukup pakar dalam apa jua kemungkinan cuma kita nak tahu apa yang berlaku. Mungkin tiada perkara yang serius," katanya yang mahu siasatan merangkumi semua aspek termasuk waktu kebocoran dan jumlah murid yang terlibat.

Beliau berkata masalah soalan peperiksaan bocor tidak timbul sejak dua tahun lepas.

Seramai 511,519 calon di seluruh negara menduduki UPSR tahun ini yang bermula semalam hingga esok.

Mengenai cadangan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran elektif di sekolah, Hishammuddin berkata secara peribadi beliau tidak menyetujuinya.

Beliau berkata setiap rakyat Malaysia perlu mengetahui sejarah negara ini bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan golongan muda.

"Kalau tidak tahu sejarah, susah untuk mencorakkan haluan masa depan. Sejarah juga penting untuk mencorakkan identiti bangsa dan negara," katanya.(BERNAMA)