Tuesday, September 4, 2007

Kerajaan Diminta Timbang Elaun Khas Kepada Kakitangan AADK

SUNGAI SIPUT-Kerajaan diminta supaya menimbang untuk memberi elaun khas kepada lebih 4,000 kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) seperti elaun kritikal yang dinikmati beberapa cabang perkhidmatan kerajaan yang lain.

Perkara tersebut merupakan antara isu yang dibangkitkan pekerja AADK kepada rombongan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang diketuai Datuk N. Siva Subramaniam semasa melawat Pusat Serenti Perlop dekat sini hari ini.

Menurut mereka, pemberian elaun khas itu adalah wajar terutama kepada pekerja yang bertugas di Pusat Serenti yang terdedah kepada risiko dijangkiti penyakit merbahaya seperti HIV, batuk kering/tibi dan pelbagai penyakit kronik lain yang dibawa oleh pelatih pusat tersebut.

Kakitangan AADK itu mendakwa tugas mereka juga merbahaya seperti perkhidmatan anggota polis, tentera dan kastam yang diberi elaun kritikal.

Kadar elaun itu adalah 5 peratus bagi kumpulan Pengurusan dan Profesional dan 10 peratus kepada kumpulan Sokongan.

Sementara itu Komandan Pusat Serenti Perlop, Mustapha Salim dalam sesi taklimatnya berkata 34 orang dari sejumlah 263 pelatih pusat itu merupakan pengidap HIV manakala tiga pelatih yang lain mengidap batuk kering/tibi.

"Selain itu tiga pelatih didapati menghadapi masalah mental, 10 pelatih mengidap penyakit darah tinggi, 11 pelatih mengidap asma/lelah dan dua pelatih merupakan pesakit kencing manis," katanya.

Siva Subramaniam berkata pihaknya berpuas hati dengan infrastruktur yang disediakan untuk pelatih dan modul pemulihan yang dilaksanakan di pusat tersebut.(BERNAMA)