Sunday, September 23, 2007

Hakim Nafi Berbual Dalam Rakaman Klip Video

KUALA KANGSAR 23 Sept. - Hakim kanan, yang didakwa berbual dengan seorang peguam terkemuka mengenai pelantikan hakim-hakim pada 2002, telah menafikan bahawa beliau adalah orang yang dihubungi peguam terbabit dalam klip video yang disiarkan media internet, Malaysiakini, pada Selasa lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, hakim berkenaan telah menghubungi beliau bagi membuat penafian itu.

“Hakim itu telah menghubungi saya dan beliau menafikan dia yang berbual dalam rakaman itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat Amanah Raya Berhad dan majlis berbuka puasa di Masjid Taman Kuala Kangsar di sini malam tadi.

Bagaimanapun Mohamed Nazri tidak menyatakan bila hakim itu menghubungi beliau.

Mohamed Nazri yang memegang potfolio undang-undang berkata, perkara utama berhubung isu itu pada peringkat ini ialah siasatan bagi membuktikan kesahihan klip video berkenaan.

“(berdasarkan klip video) kita hanya lihat seorang sahaja yang bercakap... siapa di sebelah sana kita tidak tahu dan dia (hakim yang didakwa berbual dengan peguam itu) telah menafikan,” katanya.

Siasatan sedang dijalankan bagi membuktikan kesahihan rakaman itu terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan boleh diambil, katanya.

Mohamed Nazri sementara itu turut mempertikai niat pihak yang membuat pendedahan rakaman video berkenaan kerana mendedahkannya kepada media terlebih dahulu sebelum menyerahkan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat.

“Kalau hendak tegak keadilan atau mahu membersihkan badan kehakiman, siasatan boleh dibuat oleh BPR dan polis.

“Kenapa kepada media?... boleh dipertikai niatnya, kerana politik atau mahu badan kehakiman bersih,” katanya.

Beliau juga memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang mengambil tindakan yang boleh menghakiskan keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman.

Rakaman video lapan minit itu kononnya melibatkan peguam berkenaan membincangkan kemungkinan hakim itu dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan kemudian sebagai Ketua Hakim Negara dan pelantikan beberapa hakim lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin berkata, kerajaan memandang serius isu klip video itu kerana ia boleh menjejaskan nama baik sistem kehakiman negara dan polis akan menyiasat bagi memastikan kesahihannya sebelum tindakan diambil. - Bernama