Tuesday, September 18, 2007

Penduduk Di Arah Berjaga -Jaga

Tikam Batu - Beberapa kawasan di sekitar Tikam Batu dan Kota Kuala Muda yang terletak di sepanjang Sungai Muda masih lagi ditenggelami air ekoran daripada hujan lebat yang berterusan sejak minggu lalu. Kawasan yang terlibat ialah Kampung Bukit Lalang dan Kampung Pokok Kabu di Tikam Batu manakala di Kota Kuala Muda melibatkan Kampung Rantau Panjang dan Kampung Alor Jawi.

Menurut penduduk, walaupun cuaca hari ini agak baik dan tiada hujan namun paras air semakin meningkat berpunca daripada aliran keluar air yang banyak daripada kawasan-kawasan lain seperti Baling dan Kuala Ketil yang melalui Sungai Muda berhampiran kawasan kediaman mereka.

Menurut mereka lagi, Projek Tebatan Banjir Sungai Muda yang masih lagi dalam pembinaan menyebabkan air sungai yang melimpah keluar tidak dapat mengalir semula ke dalam sungai dan menenggelami kawasan rendah di sekitarnya.

Mereka yang kini diletakan di bawah status berjaga-jaga bersedia untuk dipindahkan ke pusat penempatan banjir sekiranya paras air semakin meningkat dan membahayakan keadaan.