Friday, August 31, 2007

Ops Bersih 2 Mula Isnin Dengan Pemeriksaan Tetap Di Terminal Bas Hantar berita ini kepada rakan Versi bolehcetak berita ini

TAPAH-Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka pejabat tetap di 30 buah terminal bas ekspres utama di seluruh negara kecuali Kelantan bagi membuat pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan mulai Isnin ini serentak dengan pelancaran Ops Bersih 2.
Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Salim Parlan berkata pemeriksaan tetap di terminal bas itu akan dapat mengatasi masalah kekurangan anggota penguatkuasa, mencegah pemeriksaan berulang kali serta tidak menjejaskan jadual perjalanan bas ekspres yang telah menimbulkan rungutan pengusaha dan pengguna.
"Langkah itu adalah antara kaedah yang diperkenalkan setelah mengkaji kelemahan yang dikesan dalam pelaksanaan Ops Bersih 1 bermula 22 Ogos lepas," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Ops Bersih 1 di Kawasan Rehat dan Rawat (R n R) Tapah Selatan dekat sini Khamis malam.
Beliau berkata pemeriksaan tetap itu menggantikan kaedah statik atau sekatan jalan raya di 16 lokasi dalam Ops Bersih 1.Salim berkata melalui kaedah itu, pemeriksaan akan membabitkan bas yang akan memulakan perjalanan keluar saja.
Walaupun kaedah statik dihentikan tetapi penguatkuasaan secara rondaan dan pemeriksaan secara rambang akan dijalankan di semua laluan utama bagi mengesan bas yang mungkin dapat mengelak dari pemeriksaan di terminal, katanya.
Beliau berkata terminal-terminal yang akan dikenakan pemeriksaan tetap itu ialah Terminal Bas (TB) Bukit Lagi, (Perlis); TB Shaab Perdana, Alor Star (Kedah); TB Sultan Abdul Halim, Butterworth; dan TB Sungai Nibong (Pulau Pinang); TB Medan Gopeng, Ipoh; TB Kamunting, Taiping; TB Lumut; dan TB Teluk Intan (Perak); Hentian Puduraya, Jalan Duta, Jalan Pekeliling, dan Putra (Kuala Lumpur), Hentian Kepayang, Seksyen 7 dan Jalan Reko Kajang (Selangor).
Terminal One, Seremban (Negeri Sembilan); Terminal Melaka Sentral, (Melaka); Terminal Larkin, Kulai, dan Muar (Johor); Terminal Makmur, Kuantan dan Terminal Bas Raub (Pahang); TB MPKT Kuala Terengganu (Terengganu); TB Kuching, Sibu dan Miri (Sarawak); TB Inanam Kota Kinabalu, TB Tawau, Keningau dan Sandakan (Sabah).
Salim berkata pemeriksaan tetap tidak dapat dijalankan di terminal bas Kota Baharu kerana kawasannya tidak sesuai tetapi pemeriksaan akan dijalankan di jalan keluar utama.
Mengenai Ops Bersih 1 yang berakhir tengah malam tadi, beliau berkata sepanjang tempoh operasi itu, sebanyak 19 pemandu bas dan 19 pemandu lori adalah antara 114 kes penyalahgunaan dadah yang dikesan.
Jumlah bas yang dikesan tidak mempunyai pemandu kedua pula ada sebanyak 81 kes.Katanya sebanyak 18,245 pelbagai jenis kenderaan telah diperiksa dengan 2,250 kenderaan telah dikenakan tindakan.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 3,036 saman telah dikeluarkan termasuk 823 kes kesalahan bas ekspres melanggar syarat permit serta beroperasi di luar kawasan, 756 kes lebihan muatan (lori) dan 346 kesalahan lesen memandu.
Operasi bersepadu mulai 22 Ogos lepas itu membabitkan antara 1,200 hingga 1,500 anggota penguatkuasa JPJ dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), dan Jabatan Imigresen.
Salim juga berkata sepanjang tempoh Ops Bersih 2 sehingga 30 September depan, JPJ akan mengurangkan sebanyak 50 peratus bilangan calon yang akan menjalani ujian memandu kerana pegawai-pegawai penguatkuasa yang mengendalikan ujian itu akan dikerah membantu operasi.
Beliau mengulangi amaran, JPJ tidak akan bertolak ansur dalam menguatkuasakan undang-undang."Kita tidak akan tunduk kepada ugutan pengusaha bas untuk mogok atau henti operasi...tiada kompromi jika langgar peraturan, biarlah hanya tinggal syarikat yang bersih dan genuine dalam industri kerana matlamat utama kita adalah untuk mengurangkan kemalangan," tegasnya.(BERNAMA)