Sunday, August 26, 2007

Pampasan Tak Berbaloi - Penduduk

SUNGAI PETANI - Hampir 20 buah keluarga di Kampung Baru, Sungai Pasir Kecil, Sungai Petani kini diancam kebimbangan tiadanya tempat tinggal disebabkan kawasan kampung mereka akan dibangunkan menjadi taman perumahan.

Kawasan yang merupakan tanah rizab estet itu telah diteroka sejak lebih 50 tahun dahulu oleh penduduk asal kampung terbabit yang bekerja sebagai pekerja ladang di situ.

Menurut penduduk kampung yang ditemui, status mereka sebagai Peneroka Bandar menyebabkan mereka telah diarah berpindah bagi membolehkan projek perumahan dibangunkan di kawasan terbabit dengan bayaran pampasan yang tidak memadai antara RM 8,000 hingga RM 15,000 sahaja.

Dengan bayaran pampasan sebanyak itu, mereka bukan sahaja tidak mampu untuk mendapatkan sebuah rumah kos rendah bagi memulakan penghidupan baru bahkan untuk mendirikan rumah di tempat lain juga merupakan sesuatu yang mustahil.

Apa yang menghairankan penduduk, bayaran pampasan yang ditawarkan juga sentiasa berubah-ubah mengikut masa dengan tiada sebarang perjanjian bertulis pernah dibuat antara penduduk kampung dan pemaju terbabit.

Lebih memburukkan keadaan, penduduk-penduduk yang masih enggan berpindah telah diancam oleh pihak pemaju untuk memanjangkan isu tersebut ke mahkamah seterusnya meroboh rumah mereka tanpa sebarang bayaran pampasan.
Setakat ini, seramai 9 orang daripada penduduk kampung terbabit telahpun diseret ke mahkamah.


Sebelum projek perumahan dijalankan di situ, terdapat hampir 80 buah rumah yang didirikan di kampung terbabit tetapi disebabkan tidak tahan dengan desakan dan ancaman daripada pemaju, kebanyakan penduduk terpaksa mengambil keputusan untuk berpindah.

Menurut penduduk lagi, satu badan bertindak telah ditubuhkan bagi menyuarakan masalah mereka kepada pihak-pihak yang berkenaan termasuklah kepada Menteri Besar Kedah dan juga Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui Pejabat UMNO Bahagian Kepala Batas namun masih tiada sebarang tindakan diambil bagi menangani masalah tersebut.

Penduduk kampung terbabit berharap masalah mereka akan mendapat pertimbangan yang sewajarnya dan bersedia untuk berpindah sekiranya ditawarkan dengan bayaran pampasan yang setimpal dan berpatutan.