Friday, August 31, 2007

Lada Taja Pemain Golf Dan Pelayar Untuk Promosi Langkawi Geopark

LANGKAWI, 30 ogos - Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) akan meningkatkan usaha mempromosi Langkawi Geopark menerusi bidang sukan, dengan menjadi penaja kepada atlet bagi acara-acara sukan yang diminati ramai, seperti golf dan kapal layar sebagai permulaan.
Langkawi Geopark yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada 1 Jun lepas adalah jenama baru produk pelancongan Langkawi, yang merupakan yang pertama di Asia Tenggara dan Malaysia.
Pengurus Besar Lada Datuk Kamarulzaman Abdul Ghani berkata penajaan sukan dikenal pasti sebagai salah satu daripada cara terbaik untuk memperkenalkan lagi Langkawi Geopark ke serata dunia.
Beliau berkata pemain golf professional dari Langkawi, Yusri Ahmad Shaharom akan ditaja sebagai duta Langkawi Geopark dalam menghadapi kejohanan-kejohanan yang lebih mencabar pada masa akan datang.
Katanya penajaan itu akan membolehkan Yusri mengharungi cabaran dalam kejohanan lebih besar termasuk menyertai 13 kejohanan berprestij di dalam dan luar negara.
Kamarulzaman berkata penajaan selama setahun buat permulaan, dan ia termasuk pembiayaan untuk pembelian peralatan golf yang lebih baik serta yuran penyertaan pada kejohanan-kejohanan yang disertai.
Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Yusri dengan Lada berhubung penajaan itu berlangsung di Kompleks Lada di sini Khamis lepas.
Yusri, 38, yang sudah dua tahun menjadi pemain pro kini memegang ranking Malaysia ke-33, dan beliau pernah menyertai beberapa kejohanan seperti Terengganu Masters 2007.
Pemain yang berasal dari Kampung Makam Mahsuri Ulu Melaka di sini berkata beliau mula berjinak dengan acara golf ketika berusia 13 tahun, semasa masih menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, katanya beliau akan menyertai The 2008 Asian Tour Qualifying School di Sabah mulai 7 hingga 10 Nov ini untuk membolehkan beliau mara lebih jauh dalam arena golf.
Selain itu, Lada turut menaja pasukan kapal layar dengan nama "Langkawi Geopark" yang menyertai pertandingan Piala Monsoon di Terengganu tidak lama lagi.Ketua pasukan Mohd Afendy Abdullah berkata enam pelayar gabungan Persatuan perahu layar Kedah dan Langkawi Royal Yacht Club akan bertanding pada kejohanan itu.(BERNAMA)