Saturday, August 4, 2007

Kedah, Perak Tekad Rangkul Juara Liga Super

ALOR STAR - Kedah dan Perak yang kini bersaing sengit untuk memburu gelaran juara Liga Super bertekad untuk berjuang habis-habisan apabila menentang pencabar masing-masing esok.
Oleh kerana esok merupakan hari terakhir perlawanan dalam jadual Liga Super, Kedah yang berbekalkan kelebihan dua mata berbanding Perak, perlu menang ke atas Brunei di tempat lawan manakala Perak yang akan bertandang ke Kuching, juga mesti mencapai kemenangan ke atas Sarawak untuk menghidupkan harapan mereka.
Kedah yang membenam Negeri Sembilan 7-0 dua hari lalu kini berada di puncak liga dengan memperolehi 52 mata manakala Perak yang sebelum ini menerajui liga tercicir ke tempat kedua dengan mengumpul 50 mata, setelah seri 1-1 dengan Terengganu, sekaligus menjejaskan sedikit harapan mereka untuk menjadi juara.
Apapun, lawan Kedah, iaitu Brunei, yang menduduki tempat ketiga dengan 44 mata bukanlah pasukan yang mudah ditewaskan, lebih-lebih lagi di gelanggang sendiri.
Orang yang pertama menyedari hakikat itu adalah pengurus pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz.
"Ini adalah misi terpenting dan yang paling berat sepanjang musim ini. Kedah tewas 1-2 pada pertemuan sulung dengan Brunei di Stadium Darul Aman dan saya berharap `badi' itu tidak akan berulang di Bandar Seri Begawan," katanya.Beliau juga menyedari bahawa walaupun Kedah berbekal kelebihan dua mata, Perak yang menentang Sarawak di Kuching pada waktu yang sama masih mempunyai peluang, jika keputusan tidak memihak kepada Kedah.
"Walaupun tanpa empat pemain yang kini menyertai pasukan kebangsaan, persembahan pemain-pemain Kedah amat meyakinkan saya bahawa mereka mampu untuk merobek pertahanan Brunei sekaligus memenangi tiga mata penuh," kata Othman.
Beliau berkata harapan tetap disandarkan kepada penyerang tempatan walaupun penyerang import Marlon Alex James masih membuktikan kewibawaan sebagai penjaring utama.
Katanya kemantapan permainan Kedah lebih terserlah selepas berehat selama sebulan ekoran kejohanan Piala Asia berlangsung di negara ini.
Di Ipoh pula, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Perak Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah mengharapkan Brunei mencipta kejutan dengan mengatasi Kedah, di samping mahukan pemain Perak sendiri berjuang habis-habisan semasa menentang Sarawak.
"Pemain yang berlepas ke Kuching hari ini telah diterap semangat `mesti menang' kerana hanya kemenangan boleh menghidupkan harapan Perak untuk menjuarai Liga Super.
"Posisi kita akan banyak bergantung kepada keputusan perlawanan antara Kedah dan Brunei, namun bagi kita, tiada jalan lain melainkan memburu kemenangan untuk memastikan peluang sendiri.
"Ini kerana, jika Kedah kalah dan Perak seri atau kalah, maka Kedah masih akan dinobat sebagai juara liga, katanya.(BERNAMA)