Tuesday, July 31, 2007

Batik merbok

Merbok - Pelancaran Batik Merbok oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mahadzir Khalid malam semalam di Kelab Cinta Sayang Golf And Country Resort membolehkan peminat-peminat batik kini mempunyai pilihan yang lebih banyak untuk mendapatkan rekaan corak batik yang cantik, bermutu dan eksklusif. Jika sebelum ini penghasilan batik-batik lebih bertumpu kepada dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu, namun kini Merbok yang terletak di Kedah akan menjadi pengeluar batik yang menghasilkan corak yang berbeza dan komtemporari.

Menurut pengarah Batik International Research Design Access (BIRDA) Profesor Madya Sulaiman Abd Ghani, Penghasilan batik-batik ini adalah berasaskan kepada lima motif yang terdapat di Merbok.

Lima motif tersebut ialah Burung Merbok, Padi, Bakau, Sanskrit dan juga ukiran atau kerawang.Burung Merbok adalah sejenis burung yang memberikan Merbok namanya. Padi pula adalah hasil pertanian utama di Kedah dan Merbok.Kawasan Merbok juga merupakan kawasan yang kaya dengan Paya Bakau. Sanskrit pula ialah tulisan yang ada pada hasil peniggalan pusat arkeologi Lembah Bujang. Manakala ukiran pula adalah motif-motif ukiran dan juga rekabentuk yang ada pada rumah-rumah lama.

Sejarah penghasilan Batik Merbok ini bermula dengan satu kajian yang dijalankan oleh UITM Kedah yang terletak di Merbok yang mendapati masalah kemiskinan yang berlaku di kawasan setempat adalah disebabkan kurangnya peluang-peluang pekerjaan yang ada di kawasan bekenaan.

Menteri Besar Kedah dalam ucapannya berkata YB Datuk Zainuddin Maidin ahli Parlimen Merbok telah mencetuskan idea untuk mewujudkan satu industri kampung yang boleh disertai penduduk di kawasan Merbok terutamanya ibi-ibu tunggal iaitu Batik Merbok. Hasil cetusan idea itu, dengan kerjasama UITM Kedah, Batik International Research Design Access (BIRDA) UITM Shah Alam dan pusat khidmat Parlimen Merbok, maka satu kajian telah dijalankan bagi melihat motif-motif yang boleh digunakan bagi menghasilkan corak-corak asas kepada Batik Merbok ini.

Bagi memastikan penghasilan rekabentuk-rekabentuk yang bermutu dan menepati citarasa, satu pusat penyelidikan dan pembangunan akan diwujudkan dan dikenali sebagai Batik Merbok Design Centre(BDMC). Sehingga kini sejumlah 150 rekacorak telahpun siap dan lebih banyak corak lagi akan direka bagi memenuhi perkintaan dan memastikan corak-corak baru sentiasa dikeluarkan dari masa ke semasa