Wednesday, July 18, 2007

Orang kurang upaya bernasib malang

Pengkalan Hulu - Tiada seorang pun di dunia ini yang mahu dilahirkan dengan berkeadaan cacat.Apatah lagi kecacatan yang telah ditakdirkan itu perlu ditanggung sepanjang hayatnya.Beginilah nasib insan yang bernama Sabarina Binti Shuib 21 tahun yang tinggal di Kampung Seberang, Jalan Nenering,Pengkalan Hulu,Perak.

Menurut ibunya Siti Noraini Nayan berkata "Kecacatan yang dialami anak saya itu bermula daripada demam panas ketika berumur tiga tahun".Disebabkan kecacatan tersebut anaknya itu tidak mampu untuk berjalan dan mengurus hidupnya sendiri dan beliau terpaksa menjaganya sepenuh masa.Tambah malang lagi bila bantuan setiap bulan yang diperolehi daripada Jabatan kebajikan Masyarakat telah dikurangkan dan tidak lagi dibayar setiap bulan seperti kebiasaannya.

Menurut Siti Noraini lagi dahulunya anaknya itu mendapat bantuan sebanyak RM400 sebulan tetapi bantuan tersebut telah dipotong sejak awal tahun ini.Katanya bantuan yang diperolehi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak bulan januari tahun ini sehingga sekarang hanya berjumlah RM600 dengan dua kali bayaran iaitu RM400 pada bulan Februari dan RM200 pada bulan Mei yang lalu berbanding tahun lalu dimana bantuan kepada anaknya itu diperolehinya setiap bulan.

Kehidupan mereka sekeluarga semakin tertekan apabila permohonan geran tanah yang diusaha sejak 18 tahun lalu dan merupakan tempat mereka mencari rezeki dan menjadikan tempat berlindung tidak mendapat perhatian kerajaan sedangkan permohonan orang lain berhampiran tanah mereka sudahpun diluluskan.Sebaliknya mereka ditawarkan rumah di penempatan PPRT Air Suda,Grik oleh pengulu disitu.Beliau kesal dengan sikap pengulu terbabit yang bernada kasar mengarahkan mereka sekeluarga supaya berpindah daripada tanah yang telah diusahakan dengan berbagai hasil tanaman sejak 18 tahun lalu tanpa menghiraukan masalah mereka.

Permohonan mereka untuk mendapat bantuan membaiki rumah yang sudah uzur itu juga tidak mendapat perhatian dengan alasan tanah tersebut tidak mempunyai geran sedangkan tanah tersebut merupakan tanah usaha sepertimana beberapa penduduk lain yang tinggal berhampiran mereka.