Monday, July 2, 2007

Pulau Pinang Sasar Jadi Negeri Paling Selamat Menjelang 2010

PULAU PINANG-Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menetapkan sasaran untuk menjadikan negeri itu sebagai negeri paling selamat menjelang 2010.
Beliau berkata, untuk mencapai sasaran itu, kerjasama dan penglibatan orang awam termasuk pasukan Rela, Rukun Tetangga dan persatuan penduduk amat penting dalam usaha membanteras jenayah di negeri ini.
Katanya mereka harus membantu polis dalam menangani kejadian jenayah di kawasan masing-masing supaya Pulau Pinang menjadi negeri yang selamat dan sejahtera.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Bandar Selamat Kawasan Macallum di sini, beliau berkata pada ketika ini terdapat 4,244 anggota polis untuk berkhidmat bagi kira-kira 1.5 juta penduduk di negeri ini.
"Jadi nisbah polis dan penduduk ialah 1:366 orang dan jika mengikut piawaian antarabangsa, nisbah yang ideal ialah 1:250 orang," katanya.
Sehubungan itu, bantuan dan kerjasama orang ramai dapat mengurangkan bebanan tugas anggota polis untuk mengawal keselamatan di negeri ini.
Selain kawasan Macallum, inisiatif itu turut dilancarkan serentak di empat kawasan lain iaitu Bayan Baru, Taman Raja Tun Uda di Butterworth, Bukit Minyak dan Taman Siakap, Seberang Jaya.(BERNAMA)