Wednesday, August 29, 2007

Kereta Api Bawa Kontena Tergelincir Di Bukit Chabang

PADANG BESAR - Lima belas daripada 35 buah kontena kosong yang sedang dibawa dengan sebuah kereta api dari Butterworth ke Bangkok, tergelincir dari landasannya di Bukit Chabang dekat sini hari Rabu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar Pemangku Supt Che Man Md Dros berkata akibat kemalangan pada 6.50 pagi itu, 30 perkhidmatan kereta api termasuk empat tren penumpang akan tergendala kira-kira 48 jam.
Beliau berkata pemandu lokomotif dan pembantunya yang masing-masing berumur 35 dan 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Polis akan berkawal di kawasan kejadian bagi mengelak sebarang kemungkinan kegiatan jenayah.
Sementara itu, Eksekutif Kanan Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Cawangan Butterworth, Rasul Yahya berkata punca kemalangan itu masih disiasat manakala kerja-kerja memulihkan landasan sedang dilakukan oleh 60 kakitangan KTMB.
Para penumpang kereta api dari Bangkok ke selatan akan diangkut dengan bas dari Padang Besar ke Arau, begitu juga sebaliknya.
Rasul yang mengetuai siasatan kes kemalangan itu berkata kerja-kerja pemulihan landasan diharap dapat disiapkan dalam tempoh 24 jam. (BERNAMA)