Wednesday, August 29, 2007

Rumah Penguatkuasa KPDNHEP diserang bom

Sungai Petani - Seorang Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, Shyarmizi Bin Mohamad, 21 tahun terselamat dalam letupan bom kira-kira jam 4 pagi tadi.

Ketika kejadian, Shyarmizi serta ibu dan bapanya yang sedang nyenyak tidur di rumah mereka di Taman Ria, Sungai Petani dikejutkan dengan satu letupan kuat di bahagian hadapan pintu rumahnya.

Letupan kuat yang dipercayai berpunca daripada bom buatan sendiri itu telah menyebabkan kerosakan teruk pada pintu, cermin dan syiling di bahagian ruang tamu rumahnya.

Shyarmizi ketika ditemui di tempat kejadian enggan memberi sebarang komen dan menyerahkan kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.

Sementara itu, Presiden Pegawai-Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP, Rus Bakarurraini bin Shahfei merayu pihak polis agar dapat memandang kes yang melibatkan ancaman kepada pegawai-pegawai penguatkuasa seperti ini secara serius dan menyeluruh.


Menurutnya lagi, "walaupun pihak polis hanya tiba di tempat kejadian selepas 5 jam aduan dibuat", "beliau percaya pihak polis mampu menyelesaikan kes ini".

Ancaman sehingga menggunakan bahan letupan seperti ini merupakan jenayah serius daripada kumpulan tertentu yang merasakan kepentingan mereka telah tergugat,apatah lagi jika jenayah tersebut berlaku di Sungai Petani yang diketahui bukanlah sebuah bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Justeru pihak polis diharapkan seberapa segera memberkas penjenayah berkenaan supaya tidak menjadi ancaman kepada pihak lain yang turut terlibat dalam usaha membenteras jenayah.