Thursday, December 20, 2012

Polis Pantau Media Sosial Sebar Berita Palsu Rusuhan Di Kuala Muda

SIK, 19 Dis - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau laman sosial termasuk blog bagi menyekat penyebaran berita palsu mengenai rusuhan di daerah Kuala Muda.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata mereka yang didapati masih cuba berbuat demikian akan dikenakan tindakan sewajarnya.

"Kita akan pantau, jika ada bahasa, perkataan atau ayat yang digunakan itu mempunyai unsur-unsur hasutan, kita tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan menjejaki mereka yang terbabit.

"Siasatan masih berjalan ketika ini dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan atau Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan talian," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Desa Selamat di Felda Teloi Timur, di sini pada Rabu.

Syed Ismail juga menegaskan berita yang disebarkan menerusi menerusi laman sosial, blog atau khidmat pesanan ringkas (SMS) itu tidak benar dan meminta orang ramai merujuk kepada laman Facebook rasmi PDRM, bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai insiden berkenaan- BERNAMA

Keadaan Keselamatan Di Kedah Normal - Ketua Polis Kedah



SUNGAI PETANI, 19 Dis -- Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata hari ini keadaan dan suasana keselamatan di negeri ini adalah terkawal serta normal dan tiada rusuhan berlaku seperti yang disebarkan di laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau berkata walaupun berlaku insiden pergaduhan sebelum ini, semuanya telah dapat diatasi dan dikawal oleh pihaknya.

"Setakat ini seramai 21 orang telah disoal siasat bagi membantu siasatan insiden sebelum ini dan diharapkan semua pihak dapat memahami bahawa situasi di Sungai Petani adalah terkawal," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini bagi membincangkan dakwaan berlaku rusuhan di daerah berkenaan.

Katanya orang ramai sepatutnya merujuk kepada pihak polis sekiranya ingin mendapatkan maklumat tepat mengenai keadaan keselamatan semasa di negeri ini.

Ahmad berkata kebanyakan penulisan mengenai sesuatu berita terutama di laman sosial adalah tidak tepat dan berunsur provokasi.

Sementara itu, Anggota Majlis Perbandaran Sungai Petani, S Pichathu berkata keadaan di daerah itu aman serta damai, tidak seperti yang digambarkan oleh berita-berita di laman Facebook, Twitter dan blog yang mendakwa berlaku rusuhan.

"Mereka saja nak buat propaganda, kami di sini dalam keadaan biasa sahaja, orang luar sahaja yang buat andaian macam-macam," katanya.

Lee Heng Chai, seorang lagi anggota majlis itu berkata, dakwaan mengenai rusuhan itu timbul apabila sekumpulan anak muda bergaduh kerana salah faham.

"Orang muda biasalah, perangai mereka cepat naik baran, bila tersentuh sikit pun boleh bergaduh, terus pukul tanpa usul periksa. Masalah itu kelihatan besar apabila ada campur tangan daripada orang luar," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati orang ramai menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa tanpa ada masalah.

Penduduk di sekitar daerah Kuala Muda dari pelbagai latar belakang berurusan dalam keadaan aman.

Kedai dan gerai-gerai makanan di tepi jalan masih dikunjungi masyarakat pelbagai kaum.

Penduduk berkenaan menggesa pihak yang menyebarkan dakwaan konon wujud rusuhan, berhenti berbuat demikian.

Seorang pekerja kedai kek, S Gayathry, 33, berkata dia ada mendengar desas-desus mengenai rusuhan yang didakwa berlaku di beberapa kawasan di Kuala Muda tetapi setelah diselidik, semua dakwaan itu palsu.

"Saya keluar ke tempat kerja seperti biasa tanpa rasa bimbang, apatah lagi selepas polis turut mengeluarkan kenyataan bahawa keadaan kini terkawal, katanya.

Seorang pelajar sekolah, Nur Mariam Nasir, 17, berkata tiada sebarang masalah di kawasan perumahannya di Taman Pekan Baru, dekat sini, yang dihuni masyarakat pelbagai kaum.

"Selama ini kami saling bertoleransi dan menghormati antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, peniaga minuman di Taman Indah, dekat sini, Mashitah Osman, 32, berkata keadaan di Sungai Petani aman dan "saya masih berniaga seperti biasa".-- BERNAMA

Friday, December 14, 2012

FRIENDLY : KELANTAN CEMERLANG TEWASKAN KEDAH

Stadium Sultan Muhammad Ke IV menerima lebih 20 Ribu penyokong walaupun hanya perlawanan persahabatan.
Kelantan meneruskan rentak cemerlang dalam perlawanan persahabatan selepas berjaya menewaskan pasukan Kedah FA dengan jaringan besar 4 – 1.

Gol Kelantan FC masing masing dijaringkan oleh Sabre Mat Abu ( Gol Sendiri ), Norfarhan, Dimitri Petratos dan Keita Mandjou.

Dalam perlawanan ini, pertahanan kiri The Red Warriors FC Abdul Aziz Ismail dikejarkan terus ke hospital selepas mengalami kecederaan.Beliau sebelum ini berehat panjang kerana kecederaan ACL.

Selepas ini Kelantan akan ke Bandar Aceh, Indonesia untuk menyertai saingan Piala Gabenor Acheh yang akan bermula 14 Disember ini. RUJUK : http://kelantanfa.com/100-juta-menanti-skuad-kelantan-fc/

Video Gol dari pihak TRC TV, EVC dan RedsFC-News.