Monday, January 24, 2011

Datuk Misbun Memberi Sokongan Penuh - Chong Wei


KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan kali ketujuh Kejohanan Badminton Terbuka Proton Malaysia Siri Super 2011 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini Ahad.

Beliau yang berumur 28 tahun berasal dari George Town, Pulau Pinang ini mengambil masa hanya 37 minit untuk menundukkan pemenang pingat emas Olimpik Athens 2004 Taufik Hidayat dari Indonesia 21-8, 21-17.

Pada set pertama Chong Wei kerap bermain di jaring sehingga memaksa Taufik melakukan kesilapan.

Kecuaian Taufik yang sering menghantar bulu tangkis ke luar gelanggang turut membantu Chong Wei mengumpul mata.

Pada set kedua, Taufik, yang berada pada kedudukan 8-18, meraih sembilan mata berturut-turut untuk merapatkan kedudukan dengan Chong Wei 17-18.

Chong Wei, bagaimanapun, tidak memberi peluang kepada Taufik untuk terus bangkit.

Pukulan kencang bertalu-talu Chong Wei gagal disambut sempurna oleh Taufik sekali gus memberi tiga mata terakhir kepada perseorangan nombor satu dunia itu.

"Saya memang bersungguh-sungguh kali ini kerana saya merupakan satu-satunya pemain Malaysia yang tinggal (dalam perlawanan akhir). Saya mahu kejuaraan ini kekal pada Malaysia," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Chong Wei berkata beliau juga lebih bersemangat berikutan kehadiran jurulatih perseorangan Datuk Misbun Sidek.

"Dia (Misbun) mungkin tahu saya berada di bawah tekanan untuk menang, jadi dia datang dan beri motivasi pada saya.

"Dia ada beritahu saya 'awak beraksi dengan baik dan awak berlatih bersungguh-sungguh, jadi hari ini awak akan dapat keputusan yang baik'," katanya.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu isteri Perdana Menteri dan Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Rosmah juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Chong Wei, yang sebelum ini memenangi gelaran itu pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010 membawa pulang wang tunai RM91,800.

-- BERNAMA