Wednesday, May 2, 2007

Penguin Tarikan Baru Langkawi

LANGKAWI-Underwater World Langkawi akan membiakkan sebanyak mungkin penguin selepas berjaya menetaskan haiwan itu menerusi kaedah eraman inkubator dan menjadikannya sebagai tarikan baru pelancongan ke pulau legenda ini.

Penguin ke-10 dari spesies Afrika Selatan `Black-footed' yang ditetaskan menerusi eraman inkubator selama 38 hari, setelah pasangan induknya enggan mengeram telurnya, meyakinkan UWL untuk meneruskan kaedah itu yang dipercayai yang pertama di Malaysia.


Kurator Kanan UWL Tan Ean Kok berkata pada masa ini terdapat 36 ekor Penguin jenis Black-footed dan Rockbopper atau Penguin Afrika di sini.Beliau yakin penguin yang ditetaskan cara itu cepat membesar berdasarkan penetasan ke-10 baru-baru ini seberat 72 gram, mencapai 170 gram dalam masa 12 hari.


Sementara itu Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalinkan kerjasama dengan UWL bagi mengumpul data berkaitan kehidupan penguin.

Pensyarah Perubatan burung Fakulti Perubatan Veteriner UPM, Dr Jalila Abu berkata data itu akan dibukukan untuk dijadikan bahan rujukan mengenai penguin yang dibiak secara tertutup, serta menjalankan kajian penyakit berkaitan spesies itu.
Beliau berkata UWL sesuai dijadikan pusat penyelidikan dan pembangunan kehidupan laut untuk pusat pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

Kira-kira 500 spesies berjumlah lebih 4,000 haiwan dan hidupan laut dipamerkan di UWL yang dibuka sejak Ogos 1995 dan ia turut menyediakan kompartmen hutan hujan tropika, iklim sederhana, sub-antartik dan pawagam 3-dimensi untuk pelawat.(BERNAMA)

Tuesday, May 1, 2007

Kepala Mangsa Dihentak Dengan Benda Tumpul

Gurun-Kisah seorang lelaki berbangsa cina Tan Seng Hock 48 tahun yang dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani pada 29 April lalu kerana dikatakan terjatuh terbongkar bila mangsa meninggal dunia pada pukul satu petang tadi.

Mangsa yang berasal dari Seremban dikatakan datang ke rumah adik saudaranya di Taman Gurun Jaya beberapa hari lalu sebelum dibawa ke hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan kecemasan.

Hasil bedah siasat daripada pihak hospital berkenaan mendapati kematian mangsa bukanlah disebabkan terjatuh atau kemalangan tetapi berpunca daripada hentakan benda tumpul dikepalanya.

Mayat mangsa telah dituntut kira-kira pukul 8.30 malam tadi oleh isterinya dari Taman Thivy Jaya,Seremban.

KWSP Cadang Pinda 25 Perkara Dasar Dalam Aktanya

LANGKAWI-Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bercadang meminda 25 perkara dasar bagi proses penambahbaikan aktanya, kata Pengerusinya.

Beliau berkata pindaan perkara-perkara itu mengambil kira kepentingan negara dan para pencarumnya.Bercakap kepada para pemberita di sini malam tadi, Samsudin berkata pindaan itu kini sedang dibahaskan di parlimen dan beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenainya.

"Kita tunggu dulu perkara ini selesai dan diluluskan parlimen," katanya.

Menurutnya, bila perkara itu diluluskan, KWSP akan memberi penjelasan terperinci mengenainya.Katanya setakat ini beliau tidak dapat memaklumkan perkara-perkara yang terbabit dalam pindaan itu.

Mengenai kegiatan pelaburan, Samsudin berkata secara amnya KWSP sentiasa melihat pelaburan yang boleh memberi keuntungan.-(BERNAMA)