Wednesday, May 2, 2007

Penguin Tarikan Baru Langkawi

LANGKAWI-Underwater World Langkawi akan membiakkan sebanyak mungkin penguin selepas berjaya menetaskan haiwan itu menerusi kaedah eraman inkubator dan menjadikannya sebagai tarikan baru pelancongan ke pulau legenda ini.

Penguin ke-10 dari spesies Afrika Selatan `Black-footed' yang ditetaskan menerusi eraman inkubator selama 38 hari, setelah pasangan induknya enggan mengeram telurnya, meyakinkan UWL untuk meneruskan kaedah itu yang dipercayai yang pertama di Malaysia.


Kurator Kanan UWL Tan Ean Kok berkata pada masa ini terdapat 36 ekor Penguin jenis Black-footed dan Rockbopper atau Penguin Afrika di sini.Beliau yakin penguin yang ditetaskan cara itu cepat membesar berdasarkan penetasan ke-10 baru-baru ini seberat 72 gram, mencapai 170 gram dalam masa 12 hari.


Sementara itu Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalinkan kerjasama dengan UWL bagi mengumpul data berkaitan kehidupan penguin.

Pensyarah Perubatan burung Fakulti Perubatan Veteriner UPM, Dr Jalila Abu berkata data itu akan dibukukan untuk dijadikan bahan rujukan mengenai penguin yang dibiak secara tertutup, serta menjalankan kajian penyakit berkaitan spesies itu.
Beliau berkata UWL sesuai dijadikan pusat penyelidikan dan pembangunan kehidupan laut untuk pusat pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

Kira-kira 500 spesies berjumlah lebih 4,000 haiwan dan hidupan laut dipamerkan di UWL yang dibuka sejak Ogos 1995 dan ia turut menyediakan kompartmen hutan hujan tropika, iklim sederhana, sub-antartik dan pawagam 3-dimensi untuk pelawat.(BERNAMA)