Friday, May 25, 2007

Penduduk terkejut pasir terus dikorek di dalam kampung

PADANG SERAI - Penduduk Kampung Kemumbung, Mukim Sidam Kiri, Kedah terkejut apabila mendapati kerja-kerja mengorek pasir darat dilakukan semula di atas tanah rizab kerajaan di tengah-tengah kawasan perkampungan mereka.

Kerja-kerja mengorek dan mengeluarkan pasir tersebut telah dimulakan sejak tahun 2004 yang lalu tetapi disebabkan bantahan berterusan yang dibuat oleh penduduk kampung, pihak Pejabat Menteri Besar Kedah telah mengarahkan Pejabat Tanah Kuala Muda untuk menghentikan segala aktiviti tersebut pada tahun 2005.

Setelah sekian lama aktiviti mengorek pasir tersebut dihentikan, seorang penduduk tempatan di situ mendakwa telah mendapat semula permit sah bagi menyambung kembali kerja-kerja mengorek dan mengeluarkan pasir sejak awal bulan ini.

Tinjauan kami ke lokasi yang dimaksudkan penduduk kampung mendapati kawasan tersebut sunyi sepi tanpa sebarang aktiviti mengorek pasir yang dapat dilihat. Menurut penduduk kampung, kerja-kerja mengorek pasir telah dihentikan sejurus sebelum kedatangan kami ke kawasan terbabit.

Tinjauan turut mendapati dakwaan penduduk kampung tersebut memang berasas dengan kehadiran beberapa jentera berat di kawasan tersebut dan terdapat longgokan pasir yang telah siap dan sedia untuk diangkut keluar selain daripada satu mesin mengepam pasir yang terdapat di tengah-tengah kawasan itu.

Apa yang membimbangkan penduduk kampung, kerja-kerja mengorek pasir terbabit telah mengakibatkan tebing di sekitar kolam tersebut terhakis dan semakin menghampiri kawasan rumah dan juga jalan di situ. Selain daripada itu, kawasan terbabit kerap kali menjadi tempat bermain kanak-kanak yang sememangnya amat berbahaya dan boleh mengakibatkan kejadian buruk yang tidak diingini seperti lemas dan sebagainya.

Beberapa penduduk kampung yang ditemui menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya berlaku hujan lebat dan risiko banjir besar yang boleh menenggelamkan kawasan terbabit sepertimana yang pernah dialami sebelum ini disebabkan kampung tersebut merupakan laluan air.

Penduduk kampung juga telah menubuhkan Jawatankuasa Badan Kebajikan Madrasah Kampung Kemumbung bagi membantah kerja-kerja mengorek pasir dilakukan di dalam kawasan kampung mereka atas alasan keselamatan.

Setakat ini jawatankuasa terbabit telah menghantar beberapa surat bantahan kepada Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda dan Pejabat Menteri Besar Kedah tetapi masih belum mendapat sebarang jawapan atau maklumbalas daripada surat tersebut.

Rata-rata penduduk kampung merayu dan amat berharap pihak-pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dengan mengarahkan kerja-kerja mengorek pasir di dalam kampung mereka dihentikan semula dan tiada lagi sebarang aktiviti pengambilan pasir dibenarkan beroperasi pada masa akan datang.