Sunday, May 27, 2007

Wujudkan Mekanisme Pantau Kegiatan Peguam Jalankan Transaksi

PULAU PINANG-Kerajaan digesa supaya mewujudkan mekanisme bagi memantau setiap kegiatan transaksi yang dilakukan oleh peguam ketika mewakili anak guam mereka dalam usaha mengatasi masalah pecah amanah di kalangan profeson tersebut.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan Datuk Lee Kah Choon, yang merupakan bekas peguam, berkata peguam mempunyai ruang untuk menipu pelanggan mereka ketika berurusan dengan mana-mana pihak terutamanya dengan Pejabat Tanah dan Daerah.

"Terdapat kelemahan seperti proses penukaran nama dan hak milik tanah di Pejabat Tanah kerana peguam boleh memohon penukaran hak milik bagi pihak anak guamnya dan syarat urusan seperti ini haruslah diperketatkan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan berita hari ini yang polis sedang mengesan 25 orang peguam bagi membantu siasatan 200 kes jenayah penyelewengan dan pecah amanah yang membabitkan berjuta-juta ringgit.
Kesemua peguam yang namanya disenaraikan itu tidak lagi menjadi pengamal undang-undang dan telah menutup firma masing-masing.

Lee, yang juga Anggota Parlimen Jelutong, berkata di Malaysia, peguam adalah orang tengah semasa transaksi yang berkaitan dengan jual-beli atau penukaran hak milik dan kerana itu golongan peguam haruslah terdiri daripada mereka yang beretika dan bertanggungjawab.

"Kita kecewa dengan apa yang berlaku dan satu mekanisma untuk mengetatkan syarat-syarat transaksi haruslah diwujudkan," katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah pula berpendapat Majlis Peguam sepatutnya mengetatkan peraturan membuka firma guaman dalam kalangan peguam muda bagi mengatasi masalah tersebut.

"Sekarang tidak ada satu peraturan yang boleh mengawal mereka. Oleh itu ramai peguam yang lepas tamat pengajian boleh membuka firma guaman sendiri sedangkan daripada segi pengalaman mereka masih kurang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peguam yang mengendalikan proses jual beli mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kepentingan dan hak anak guam mereka sentiasa diutamakan.

Mengenai peningkatan kes pecah amanah dalam kalangan pengamal undang-undang, Muhammad Shafee berkata ia secara tidak langsung mencemarkan imej profesion itu.

"Mereka yang tidak bertanggungjawab itu wajar didedahkan bagi menjamin profesion guaman tidak dicemari selain melindungi kepentingan pengguna," katanya. (BERNAMA)