Thursday, May 17, 2007

Kedah Beli Bangunan RM3.5 Juta Di Kaherah Untuk Kemudahan Pelajar

SIK-Kerajaan Kedah membeli sebuah bangunan 11 tingkat bernilai RM3.5 juta di Kaherah, Mesir untuk dijadikan asrama bagi kemudahan pelajar negeri ini yang menuntut di negara itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata dengan pembelian terbaru itu Kedah kini memiliki tiga buah bangunan di Mesir yang boleh menampung lebih 300 orang pada satu masa.

"Ramai pelajar kita di Mesir tiada tempat untuk pergi atau tinggal dalam tempoh cuti pendek kerana kebanyakkan daripada mereka tiada wang mencukupi untuk perbelanjaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran tanah kepada kepada 187 orang peneroka tanah daerah Sik di Rimba Taqwa di sini, petang semalam.Bangunan baru itu perlu dibuat sedikit pengubahsuaian dan dijangka dapat digunakan sebelum akhir tahun ini, kata Mahdzir.

Katanya seramai 874 pelajar Kedah sedang menuntut dalam pelbagai jurusan di beberapa universiti di Mesir dan tinggal berselerak di negara itu.Beliau menambah dengan adanya bangunan baru itu mereka dapat berkumpul pada waktu cuti untuk menjalankan kegiatan berfaedah.(BERNAMA)