Sunday, May 27, 2007

Healwell Pharmaceuticals Mahu Tembusi Negara Asia

ALOR STAR-Healwell Pharmaceuticals Sdn Bhd, syarikat bumiputera yang mengeluarkan produk kesihatan dan kecantikan berasaskan gamat merancang menembusi pasaran luara negara dalam masa beberapa tahun akan datang.

Pengasas dan Ketua Eksekutif Healwell Pharmaceuticals Sdn Bhd Prof Dr Hassan Yaacob berkata sasaran syarikat adalah menerokai pasaran di negara rantau Asia.

Pada masa ini syarikat sedang memperkukuhkan pasaran dalam negara, katanya kepada pemberita selepas Seminar Perdana Sihat Dan Cantik Dengan Gamat Healin Dan AG2000 di sini hari ini.

"Sejak kita mempromosi produk menerusi sebuah rancangan di saluran tv swasta sejak akhir tahun lepas, permintaan terhadap produk keluaran syarikat ini meningkat mendadak," katanya, tanpa mendedahkan butiran peningkatan permintaan itu serta sasaran jualan di luar negara.

Beliau berkata produk keluaran syarikat itu iaitu Healin dan AG2000 berupaya merangsang pembaharuan sel, merangsang sistem imunisasi serta pertumbuhan sel-sel kulit, otot, saraf dan meningkatkan peredaran darah sekaligus dapat menyembuhkan penyakit kronik seperti kanser dan lumpuh.

Beliau juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti Pingat Emas Malaysia Invention and Discovery (MINDEX) pada 1994, International Union of Pharmacology Award di Kanada pada 1994 dan dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul 2007.(BERNAMA)