Sunday, May 20, 2007

Saudara Mara Juara AF5 Tidak Sabar Tunggu Kepulangannya

PULAU PINANG-Saudara mara juara Akademi Fantasia Musim kelima (AF5) yang memecah tradisi sebagai wanita pertama menjuarai program realiti itu, Mila atau Norsyarmila Jirin, tidak sabar-sabar menantikan kepulangan gadis itu ke kampung halamannya di Kampung Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini.

Tinjauan Bernama ke rumah Mila di sini hari ini, mendapati kediamannya kosong serta berkunci dan menurut ibu saudaranya yang tinggal berdekatan, keluarga juara itu masih belum pulang dari Kuala Lumpur.

Ibu saudaranya, Maznah Burhan, 49, berkata beliau dimaklumkan Mila dan keluarganya belum diketahui bila akan pulang kerana juara itu perlu menyelesaikan beberapa urusan setelah anak saudaranya itu dinobatkan sebagai juara AF.Mila, 19 berjaya menjuarai AF5 yang berlangusng di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi, selepas memperoleh 32 peratus undi rakyat Malaysia dan Brunei serta beliau juga turut mencatat sejarah dengan memecahkan dominasi juara lelaki selama empat musim berturut-turut sejak 2003.

Tuah Mila nyata bersinar dan nyanyian dua lagu iaitu Cinta Pura-pura yang dipopularkan Ezlynn serta Persis Mutiara yang dicipta untuknya oleh Ajai dan lirik oleh Loloq itu membawa tuah kepadanya.

Dengan kemenangan itu, Mila membawa pulang hadiah bernilai hampir RM400,000 iaitu antara lain sebuah kondominium di A'Famosa Resort Melaka (RM278,900) sebuah kereta jenis Toyota Vios (RM84,849), wang tunai RM20,000, sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (RM10,000) pakej percutian ke Gold Coast, Australia (RM6,388) dan trofi AF5.

Maznah berkata saudara-mara serta rakan-rakan merangkap peminat setia juara itu, merancang membuat sambutan untuk menyambut satu-satunya pemenang wanita sejak AF diperkenalkan itu.

Menurutnya, sejak AF musim ini dimulakan pada Mac lepas, mereka sekeluarga tidak jemu-jemu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memastikan gadis kecil-molek itu tidak tersingkir.

"Rasa puas sangat Mila berjaya menjadi juara. Kami sekeluarga turut berdebar-debar menantikan keputusan malam tadi tetapi yakin dia (Mila) mampu membuat kejutan dan muncul juara," katanya.

Beliau mengakui anak saudaranya itu berbakat besar dalam bidang nyanyian dan sebelum ini juga Mila kerap dipanggil menyanyi dan menghiburkan pengunjung di sekitar Pulau Pinang.

"Kami seronok sangat Mila jadi juara dan gembira kerana penat lelah Mila menuntut ilmu di AF memberi pulangan yang begitu besar," katanya.

Empat finalis lain pada konsert itu ialah ialah Ebi kornelis atau Firdaus Yaimal (Ebi) 23, dari Sabah, sebagai naib juara, tempat ketiga, Muhammad Nur Aswad Jafar, 27, dari Pulau Pinang, tempat keempat Nur Heliza Helmi, 21, dari Terengganu dan tempat kelima Candra Clement atau Candy dari Sabah.(BERNAMA)