Friday, May 4, 2007

DATUK SERI S.SAMY VELLU ULAS KELEWATAN PROJEK DI KEDAH

SUNGAI PETANI-Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu mengulas dakwaan yang dilemparkan berkenaan kelewatan kerja-kerja pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen & Kuarantin (CIQ) Kota Putra, Kedah Darul Aman.

Jelas beliau, projek tersebut yang telah dimulakan sejak 31 Julai 2006 itu kini telah mencapai tahap 44 peratus pembinaan berbanding dengan jadual asalnya sebanyak 46 peratus. Katanya lagi, kelewatan sebanyak 2 peratus atau 10 hari itu tidak membimbangkan dan menjangka kompleks tersebut akan dapat digunakan mengikut tarikh siap asal pada 18 Julai 2008.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut menjelaskan isu berkaitan projek Jalan Trans Eastern-Interland Highway yang menghubungkan dari Durian Burung ke Kupang, Kedah. Projek yang menelan belanja sebanyak RM387 juta itu telah diserahkan kepada Konsortium Syarikat Bina Darulaman Berhad sebagai Kontraktor Perlaksanaan Projek

Menurutnya, tempoh yang telah diberikan kepada kontraktor untuk menyiapkan projek tersebut adalah selama 30 bulan daripada tarikh milik tapak iaitu pada 30 Ogos 2005. Walaubagaimanapun, kontraktor terbabit telah diberi lanjutan masa sebanyak 205 hari lagi atas sebab kelewatan mendapat kelulusan laporan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar.

Beliau yang juga Pengerusi MIC ditemui ketika merasmikan Konvensyen MIC peringkat Negeri Kedah di Dewan KISMEC, Sungai Petani, Kedah Darul Aman petang tadi. Dalam ucapan perasmiannya beliau turut menggesa jentera MIC di semua peringkat untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang pilihanraya yang akan datang selain daripada memenuhi matlamat untuk mendaftarkan seramai 200 ribu ahli baru sebelum hujung tahun 2007.