Thursday, May 3, 2007

Gelang 500 tahun ditemui

Guar Cempedak-Minat untuk menyimpan barang-barang purba telah mendorong seorang pengamal perubatan tradisional di Kedah mengumpul beberapa barangan lama yang didakwa pernah dibawa masuk oleh pedagang-pedagang dari Negara Cina sejak berabad lalu.

Mahmud atau lebih dikenali dengan nama “Paksu” memberitahu kepada Harian Utara yang beliau sanggup meredah hutan belantara dan mengembara ke serata pelosok negeri hanya semata-mata untuk mencari barang-barang lama tersebut yang dikatakan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Katanya “sebagai contoh gelang yang berusia kira-kira 539 tahun ini diperbuat pada tahun 1468 dan berasal dari Negara Cina” sambil menunjukkan bukti sepertimana yang tercatit di bahagian tepi gelang tersebut.

Katanya lagi kepada harian utara “apa yang menarik minatnya, selain tercatit tahun ianya diperbuat, terdapat juga satu tulisan cina yang membawa maksud “panjang umur, murah rezeki” pada gelang berkenaan”. ”Gelang ini saya jumpa di Kota Tinggi, Johor lebih kurang setahun lalu” katanya.

Selain daripada gelang, Paksu Mahmud turut menyimpan barangan purba yang lain seperti jembul yang dijumpai di Kuala Muda dan ayam jantan bersalut emas yang ditemuinya di Sempadan Malaysia-Thailand.

Di akhir perbualannya bersama Harian Utara beliau berkata “saya sanggup menjual barangan koleksi ini sekiranya mendapat tawaran yang menarik”.