Tuesday, May 29, 2007

Kementerian Penerangan Bantu Beri Penjelasan Kenaikan Harga Barang

PULAU PINANG-Kementerian Penerangan akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) menyebarkan maklumat dan penjelasan mengenai kenaikan harga barang kepada orang ramai.

Timbalan Menteri Penerangan Datuk Seri Chia Kwang Chye berkata maklumat dan penjelasan itu akan disalurkan melalui agensinya iaitu Jabatan Penerangan, RTM, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Bernama.

Kementerian akan menggunakan kakitangan agensi di peringkat daerah untuk menyampaikan maklumat kepada penduduk setempat mengenai sebarang kenaikan harga barang yang berpunca sama ada daripada faktor permintaan yang berlebihan mahupun faktor ekonomi dunia, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program khas Demonstrasi Memasak di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya terdapat orang ramai yang membuat aduan kepada kakitangan agensi kementerian mengenai sebarang bentuk kenaikan harga barang, maklumat itu juga akan disampaikan kepada KPDN&HEP.

Sementara itu, Chia berkata kementerian akan memperkenalkan Bulan Patriotik bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan rakyat sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.

Beliau berkata program itu akan diadakan secara besar-besaran untuk menyuntik semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum serta mengingatkan mereka tentang perjuangan kemerdekaan.

"Program itu juga akan digunakan untuk menyegarkan kembali pengetahuan orang ramai tentang Rukun Negara. Butiran lanjut mengenai program berkenaan sedang diperhalusi termasuk tarikh dan aktiviti pengisiannya," katanya. (BERNAMA)