Monday, May 14, 2007

Taman Industri Asas Tani Beroperasi Jun Ini

KEPALA BATAS-Taman Industri Asas Tani (ABIP) yang beroperasi mulai Jun ini akan menjadi pusat industri asas tani di Pulau Pinang dan secara tidak langsung bakal menjadi satu daripada hab makanan halal di negara ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) Datuk Hilmi Abdul Rashid berkata taman yang terletak di Kubang Menerong, Tasek Gelugor itu berkeluasan 60 hektar, dibahagikan kepada dua iaitu 40 hektar untuk industri asas tani dan 20 hektar lagi untuk penternakan kambing Boer.

"Kita berharap kawasan ini boleh dijadikan hab makanan halal memandangkan kita telah mempunyai infrastruktur di sini," katanya kepada pemberita selepas melawat Program Inkubator ABIP di sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk keseluruhan projek ABIP yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya fasa pertama program itu iaitu pusat inkubator ABIP yang berluasan 15 hektar dengan kos RM15 juta memberi tumpuan kepada enam kluster iaitu makanan sejuk beku, minuman, sos, bakeri, kuih tradisional dan snek.

Hilmi berkata pusat inkubator itu ditubuhkan bertujuan mewujudkan aktiviti industri asas tani yang lengkap dan selesa serta menyediakan ruang untuk pembesaran industri berkenaan.

Katanya program inkubator itu menyediakan kemudahan prasarana berpusat seperti kilang inkubator, perkhidmatan rumah sejuk beku, gudang, kompleks usahawan dan kompleks pentadbiran.

"Perkhidmatan yang disediakan di bawah program ini meliputi aspek pengeluaran produk secara komersil, pembangunan produk, pembangunan modal insan, pembangunan penjenamaan, kemudahan pembiayaan, promosi dan pemasaran dan kemudahan ruang pejabat dan sekretariat," katanya.

Beliau berkata seramai 15 peserta dipilih menyertai program inkubator itu untuk tempoh dua tahun dan peserta boleh mengembangkan industri yang diceburi selepas tamat tempoh itu.

"Kita akan membantu dari segi mendapatkan pinjaman untuk peserta mengembangkan perniagaan mereka," katanya.(BERNAMA)