Monday, May 14, 2007

Dadah jenis heroin No.3 seberat 2.5 kilogram bernilai RM200,000 dirampas.

PULAU PINANG - Hasil penahanan dua pengawal keselamatan dan seorang penganggur, polis percaya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah heroin no.3 yang bergiat aktif sejak tujuh bulan lalu di Pulau Pinang dan selatan Semenanjung.

Dalam penahanan pertama pada 27 April lalu, seorang pengawal keselamatan berumur 32 tahun ditahan bersama 900 gram heroin bernilai RM100,000 di tempat letak kereta pusat membeli-belah Queensbay. Dua minggu selepas itu, seorang pengawal keselamatan berumur 35 tahun, dan seorang penganggur berumur 37 tahun ditahan di dalam sebuah bilik hotel di Seberang Perai Tengah.Turut dirampas adalah lima paket dadah heroin No.3 seberat 2.5 kilogram bernilai RM200,000 di dalam sebuah beg kertas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Supritendan S.Batumalai berkata, ketika ditahan, suspek pertama yang telah didakwa di mahkamah pada 6 Mei lalu dipercayai sedang menunggu pembeli dadah berkenaan pada pukul 8.30 malam.Dalam pada itu, dalam serbuan kedua, polis turut merampas sebuah motosikal Honda EX5 daripada dua suspek terbabit.Hasil siasatan mendapati, suspek berusia 37 tahun sebelum ini pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) atas kesalahan jenayah beberapa tahun lalu.Seorang lagi suspek yang berumur lingkungan 35 tahun ditahan pada pukul 6.15 petang, suspek didapati positif dadah ganja.Polis kini masih memburu dalang sindiket pengedaran dadah tersebut yang berada dinegeri jiran dipercayai Kedah.

Menurut Batumalai lagi, dua suspek kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata bahawa pihaknya akan membuat pembakaran barangan kes dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu di kawasan pelupusan sampah Majlis Perbandaran Pulau Pinang(MPPP), Jalan Gurdwara di sini Khamis ini. Pembakaran akan dimulakan pada pukul 3 petang dan ia membabitkan pelbagai jenis dadah yang dirampas sepanjang tempoh berkenaan.