Friday, May 25, 2007

RM4.5 Juta Diperlukan Baiki Kemudahan Asas Orang Utan Di BMLR

TAIPING-Sejumlah RM4.5 juta diperlukan bagi memperbaiki dan menambah beberapa kemudahan asas di Pulau Orang Utan, Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini.

Pengurus Besar Kumpulan Hotel & Resort MK Land, Annuar Yang Ghazali berkata jumlah itu antara lain bertujuan membiayai pembinaan lorong berpagar pelawat dan beberapa kemudahan asas berkaitan pemuliharaan orang utan di pulau tersebut.

"Kita perlukan kerjasama daripada kerajaan negeri, golongan korporat dan juga individu untuk tampil menghulurkan sumbangan demi memastikan spesies orang utan di negara ini tidak mengalami kepupusan," katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan dua ekor orang utan oleh BMLR kepada Kerajaan Negeri Sarawak di sini.

Upacara penyerahan secara simbolik yang berlangsung di Pulau Orang Utan, BMLR disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan diterima oleh Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir pada majlis penyerahan itu ialah doktor veterinar, Dr Sabapathy yang bertanggungjawab menyelenggara dan menjalankan penyelidikan berkaitan kehidupan orang utan di Pulau Orang Utan di sini dan Pengerusi Eksekutif MK Land, Tan Sri Mustafa Kamal Abu Bakar.

Kedua-dua orang utan dewasa, BJ, orang utan jantan berumur 17 tahun dan Jerangkong, orang utan betina berumur 23 tahun akan dihantar ke tempat asalnya di Pusat Pemuliharaan Orang Utan, Jabatan Perhutanan Sarawak.

BJ dan Jerangkong dipinjamkan ke BMLR oleh Jabatan Perhutanan Sarawak sejak 2002 dalam satu jalinan kerjasama bagi memulihara dan menjalankan penyelidikan berkaitan mamalia tersebut.

Sejumlah RM2.3 juta yang dibelanjakan oleh Yayasan Emkay dan BMLR sejak tujuh tahun lepas kini membuahkan hasil apabila bilangan Orang Utan di BMLR meningkat kepada 22 ekor termasuk 10 anak orang utan yang dilahirkan di sini berumur antara tiga bulan dan empat tahun.(BERNAMA)