Friday, May 18, 2007

Kedah Mensasarkan Satu Rumah Satu Basikal

ALOR STAR-Kerajaan Negeri Kedah mensasarkan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah basikal untuk melahirkan keluarga yang sihat, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata ibu bapa boleh berbasikal bersama anak-anak mereka sekurang-kurangnya dua atau tiga kilometer sehari di sekitar kawasan kediaman.

"Aktiviti berbasikal bukan sahaja dapat merintis kepada badan yang sihat tetapi juga dapat mengekalkan alam persekitaran dengan mengurangkan pencemaran", katanya semasa merasmikan Kempen Mari Berbasikal sempena Hari Belia Negara di Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Beliau memberikan contoh di negara China yang penduduknya masih cergas meskipun telah berumur 90 tahun kerana menggunakan basikal sebagai kaedah pengangkutan harian.

Mengenai kempen itu, beliau berkata, ia bertujuan mempromosikan aktiviti kecergasan menggunakan basikal, meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan kegiatan kecergasan selain sebagai sokongan kepada sambutan hari belia negara.

Kempen itu yang turut disertai anggota Persatuan Gerek Klasik Kota bermula dengan senamrobik beramai-ramai dan selepas itu kira-kira 600 orang berbasikal sejauh 15 kilometer yang diketuai oleh Ahmad Bashah.(BERNAMA)