Friday, May 11, 2007

Bandar Diraja Kuala Kangsar Tambah Berseri

KUALA KANGSAR(10 Mei)-Bandar Diraja Kuala Kangsar semakin berseri apabila kebersihan, keceriaan dan keindahannya dipertingkatkan sempena meraikan perkahwinan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Zara Salim Davidson pada 17 hingga 19 Mei ini di Istana Iskandariah, Bukit Chandan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) Mohd Shafie Arifin berkata pihaknya telah menggerakkan tenaga kerja tambahan bagi menjaga tahap kebersihan bandar itu.

"Kebersihan di bandar Kuala Kangsar sememang sudah berada pada tahap yang membanggakan cuma kumpulan terbabit akan memastikan ia ditingkatkan lagi terutama di jalan-jalan utama, laluan protokol dan laluan dalam bandar serta sekitar laluan menuju ke Istana Iskandariah," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Mohd Shafie berkata MPKK juga telah menambah hiasan landskap terutama di kawasan lembah Sungai Perak yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung dengan memberi penumpuan kepada penanaman pokok bunga dan pokok hijau.

Istiadat perkahwinan diraja yang akan bermula pada Khamis ini dengan istiadat akad nikah dan menyarung cincin, diikuti keesokannya dengan istiadat lantikan dan perisytiharan gelaran Raja Puan Besar Perak dan penganugerah Darjah Kerabat (DK) kepada Zara. Istiadat persandingan akan diadakan malam 19 Mei.

Mohd Shafie berkata MPKK turut memberi perhatian kepada dua lagi kawasan yang dijangka menjadi kawasan utama tumpuan orang ramai iaitu Taman Budaya sebagai kawasan istirehat dan Arena Square yang dijadikan tempat berlangsungnya jamuan rakyat bagi 5,000 jemputan yang diundang khas.

"Majlis Perbandaran juga telah mula menjalankan kerja-kerja menaik taraf hiasan dan kebersihan di kawasan berkenaan dan pokok-pokok besar di sekitar bandar ini juga akan diterangi dengan lampu-lampu berwarna warni dan indah," katanya.

Beliau berharap orang ramai yang berkunjung ke bandar itu dapat bersama-sama memastikan kebersihan bandar dijaga dan sentiasa bersikap ramah mesra untuk menyambut kedatangan ramai pembesar negara ke satu lagi majlis bersejarah bagi negeri Perak.

"Mereka datang ke Kuala Kangsar bukan sahaja untuk menghadiri majlis perkahwinan diraja tetapi juga untuk melihat bandar ini. Saya percaya sesetengah jemputan yang datang tidak pernah menjejaki ke sini jadi inilah peluang masyarakat tempatan terutama peniaga menunjukkan nilai-nilai murni yang dimiliki penduduk Bandar Diraja ini," katanya.

Mohd Shafie juga berharap pemilik kedai dan jabatan kerajaan di bandar itu dapat menghias bangunan masing-masing dengan lampu hiasan dan bendera negeri Perak bagi memeriahkan lagi suasana bandar itu.

Mohd Shafie berkata MPKK juga telah mengarahkan supaya peniaga makanan di bandar itu melanjutkan waktu perniagaan mereka sehingga 10 malam sepanjang majlis perkahwinan diraja berlangsung.
Peniaga juga telah dinasihat untuk memastikan bekalan mencukupi dan tidak menaikkan harga jualan mereka bagi memenuhi permintaan yang dijangka bertambah."

Saya telah memberi arahan itu dan dijangka kuantiti makanan yang dijual akan mencukupi sepanjang majlis berkenaan berlangsung. Saya juga telah menasihatkan mereka supaya menjaga aspek kebersihan diri, tempat berniaga dan makanan itu sendiri serta bersopan santun," katanya.(BERNAMA)