Wednesday, May 23, 2007

Membanteras Gejala Sosial Bandar Sungai Petani

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menganjurkan Majlis Bertindak Masyarakat Membanteras Gejala Sosial di Bandar Sungai Petani.Badan bertindak tersebut telah dilancarkan pagi tadi oleh Presiden Kebangsaan Teras , Mohd Azmi Abd. Hamid di Dewan Masjid Muzaffar Shah Sungai Petani.

Semasa sidang media yang diadakan beliau berkata gejala sosial di Sungai Petani sudah mencapai tahap yang membimbangkan dan perlu diambil perhatian segera dan tidak hanya semata-mata menyerahkan tanggungjawab sosial tersebut kepada pihak berkuasa.Gejala sosial yang dimaksudkan itu termasuklah perbuatan tidak senonoh golongan remaja,seks bebas,bohsia, rempit, ponteng sekolah, melepak, buang anak dan sebagainya.

Katanya lagi Bandar Sungai Petani juga pernah dikaitkan dengan kumpulan black metal,hip hop dan skin head beberapa tahun lalu dan difahamkan kumpulan tersebut masih lagi bergerak aktif di bandar ini tetapi dengan secara berhati-hati bagi mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa.

Objektif utama badan bertidak tersebut ialah melancarkan pelbagai aktiviti mencetus Kesedaran,Kritikal dan membina keupayaan bertindak kearah pembaikan seluruh aspek kehidupan kemasyarakatan seperti mengatur ceramah masjid dan surau,mengadakan kem untuk motivasi kepada remaja yang bermasalah dan turut menyediakan kaunselor kepada remaja bermasalah.


Menurutnya lagi melalui majlis bertindak ini mereka akan mengujudkan sebuah skim latihan penggerak masyarakat yang berkesan dan melatih masyarakat terbabit dengan kaedah-kaedah yang termampu untuk melahirkan masyarakat yang murni.Badan bertindak ini juga akan mengadakan sesi dialog dengan keluarga atau ibu-bapa yang terlibat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi gejala sosial yang dikatakan semakin membimbangkan tersebut.