Saturday, May 19, 2007

1,082 Pertubuhan Dibatalkan Kerana Gagal Hantar Penyata Tahunan

KANGAR-Sebanyak 1,082 pertubuhan dibatalkan pendaftarannya sejak Januari 2006 hingga Februari tahun ini kerana gagal menghantar penyata tahunan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim berkata daripada jumlah itu, sebanyak 477 pertubuhan terdiri daripada pertubuhan badan induk manakala 605 pertubuhan lagi adalah pertubuhan cawangan.
"Kesalahan paling besar yang sentiasa dilakukan oleh pertubuhan (sehingga menyebabkan ia dibatalkan) adalah gagal menghantar penyata tahunan mengikut tempoh yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
"Sekiranya dibatalkan, pertubuhan terbabit boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari dan pertimbangan akan dilakukan oleh menteri terbabit sama ada untuk meluluskan rayuan atau tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Taklimat dan Penyampaian Sijil Pendaftaran Pertubuhan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Perlis di sini hari ini.

Akta Pertubuhan 1966 menetapkan sesebuah pertubuhan perlu menghantar penyata tahunan 60 hari selepas mesyuarat agung tahunan pertubuhan atau dalam tempoh 60 hari selepas berakhirnya setiap tahun kalendar jika tiada mesyuarat agung tahunan.

Abdul Rahman berkata penyata tahunan itu diperlukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sebagai laporan atau pemberitahuan untuk memastikan sesebuah pertubuhan itu masih beroperasi dan bergerak aktif mengikut matlamat asal penubuhannya.
Selain kesalahan gagal menghantar penyata tahunan, terdapat beberapa kesalahan lain yang membolehkan sesebuah pertubuhan dibatalkan termasuk pertubuhan tidak lagi wujud, anggota pertubuhan minta dibubarkan kerana tiada lagi pimpinan yang boleh memimpin pertubuhan, berlaku pertikaian dalam pertubuhan terutama perebutan jawatan dan melanggar peruntukan atau Akta Pertubuhan 1966.
Beliau berkata beberapa kursus dijalankan oleh pihak jabatan untuk memberi panduan kepada pemilik pertubuhan sama ada yang baru atau yang lama bagi mendalami ilmu kepimpinan supaya sesebuah pertubuhan dapat bergerak mengikut objektif asal pertubuhan.
Sebanyak 107,968 pertubuhan berdaftar di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 40,678 pertubuhan induk manakala selebihnya adalah pertubuhan cawangan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Perlis Mohd Fitri Hassan berkata sebanyak 1,132 pertubuhan telah berdaftar di negeri ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 121 pertubuhan dibatalkan atas kesalahan melanggar Akta Pertubuhan 1966.
Pada majlis itu, sebanyak 32 pertubuhan di Perlis dan Kedah menerima sijil pendaftaran pertubuhan yang membolehkan mereka menjalankan sebarang program pertubuhan secara sah.(BERNAMA)