Wednesday, May 16, 2007

Ketua Jabatan, Badan Berkanun Tidak Dibenar Beli Iklan Perutusan

KUALA KANGSAR-Ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta badan berkanun di Perak tidak dibenarkan membeli ruang iklan di dalam akhbar bagi mengucapkan tahniah sempena istiadat perkahwinan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dengan Zara Salim Davidson, Sabtu ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim berkata semua jabatan kerajaan negeri, Persekutuan serta badan berkanun negeri juga tidak dibenarkan menggunakan peruntukan kerajaan bagi tujuan pembelian sebarang hadiah atau lain-lain sempena perkahwinan Diraja.

"Pihak kerajaan negeri bagaimanapun tiada halangan sekiranya terdapat jabatan-jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun yang ingin menderma ataupun mengadakan majlis kesyukuran seperti mengadakan jamuan makan kepada rumah-rumah kebajikan atau bantuan kemasyarakatan yang lain," katanya dalam kenyataan di sini.

Abdul Rahman berkata majlis kesyukuran itu boleh dibuat secara langsung oleh jabatan atau disalurkan wang derma itu kepada pihak istana dengan menyebut nama jabatan dan majlis yang hendak diadakan, serta badan kebajikan yang terlibat.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, sebelum ini memberitahu Bernama, bahawa Raja Nazrin menolak dengan hormat peruntukan kewangan kerajaan untuk urusan perkahwinan baginda dan turut menasihatkan agar kerajaan negeri membelanjakan peruntukan itu untuk projek pembangunan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Raja Nazrin turut menitahkan supaya perbelanjaan untuk jamuan rakyat diserahkan tuntutan bayarannya kepada baginda, serta menasihatkan syarikat dan orang perseorangan untuk tidak berlumba-lumba membeli ruang iklan ucap tahniah di akhbar sebaliknya baginda lebih gembira jika perbelanjaan tersebut disumbangkan untuk tujuan amal.

Ekoran pendirian Raja Muda Perak itu, pelbagai reaksi positif diterima daripada semua lapisan masyarakat termasuk parti pembangkang.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memuji Raja Nazrin sebagai raja berjiwa rakyat yang sentiasa mengutamakan pembangunan dan kebajikan rakyat sementara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menyifatkan tindakan baginda sebagai satu langkah yang bertanggungjawab dan tidak hendak membazirkan wang rakyat.

Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata sikap positif Raja Nazrin patut menjadi iktibar kepada masyarakat termasuk golongan artis yang berbelanja besar untuk menganjurkan majlis perkahwinan sebagai pengesahan kedudukan kewangan mereka.

Selain itu, Pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata pendirian Raja Nazrin untuk tidak menggunakan peruntukan kewangan kerajaan negeri merupakan mesej yang baik ditunjukkan buat pemimpin yang lain.

Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria berkata tindakan Raja Nazrin itu "bermakna soal perkahwinan itu adalah menjadi hak peribadi baginda, jadi bagindalah yang mengeluarkan perbelanjaan.

"Presiden Transparency International Malaysia (TI Malaysia) Tan Sri Ramon Navaratnam berkata pendirian Raja Nazrin itu akan menyebabkan rakyat lebih menyayangi dan menghormati baginda sebagai pemimpin.(BERNAMA)