Saturday, May 12, 2007

Shahidan Tarik Diri Tanding Jawatan Presiden MOM

KANGAR-Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini mengumumkan bahawa beliau memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada pemilihan yang akan diadakan hujung bulan ini.

"Setelah mempertimbangkan pelbagai aspek yang berkemungkinan terutamanya kesibukan menjelang dan menghadapi pilihan raya umum akan datang dan usaha-usaha membangunkan Negeri Perlis bagi menzahirkan Rancangan Malaysia Kesembilan, maka dengan ini dimaklumkan saya YAB Datuk Seri Shahidan Bin Kassim dengan rendah diri dan dengan penuh keinsafan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden MOM bagi penggal yang akan datang walaupun borang pencalonan telah saya tandatangani dan telah dihantar kepada sekretariat MOM," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Penerangan Kebangsaan di sini.

Beliau juga menyatakan sokongan kepada mana-mana individu yang akan dipilih mengisi jawatankuasa dalam Mesyuarat Agung itu.

"Marilah kita berusaha memajukan sukan dengan penuh keikhlasan dan sikap pengorbanan yang tinggi. Gunakan peruntukan dengan sebaiknya untuk meningkatkan prestasi atlet. Kurangkan kerenah penjawat-penjawat sukan," katanya.

Shahidan turut mengucapkan terima kasih kepada persatuan dan pemimpin sukan yang telah menyokongnya sama ada secara terbuka atau tertutup.

"Saya ingin memohon maaf atas apa-apa kekasaran bahasa yang telah berlaku dan berjanji akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua persatuan yang saya terajui dengan penuh tulus ikhlas," katanya lagi.

Penarikan diri Shahidan bermakna Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, akan mengekalkan jawatan presiden dalam pertubuhan sukan induk di negara ini yang disandangnya sejak 14 Sept 1998.(BERNAMA)