Saturday, May 12, 2007

Agensi Di Bawah Kementerian Penerangan Perlu Kreatif

KANGAR-Jabatan dan agensi di bawah Kementerian Penerangan perlu menerapkan nilai-nilai sektor swasta yang kreatif dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada masyarakat, kata Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Beliau berkata, dengan penerapan nilai-nilai itu, setiap jabatan dan agensi mampu bersaing dengan agensi swasta secara berkesan.

Bercakap kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penerangan Kebangsaan Siri 1/2007 di sini hari ini, Zainuddin berkata, penerapan nilai itu adalah antara yang dibincangkan pada mesyuarat itu.

"Saluran penerangan perlu berkesan dan perlu bersaing dengan sektor swaasa, laman web, SMS dan blogger", katanya.
Sebagai contoh, beliau berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan 32 saluran radio juga perlu mewujudkan persaingan dengan stesen penyiaran swasta.

Menurutnya, peranan stesen-stesen radio RTM perlu dimanfaatkan untuk tujuan mempromosikan jabatan dan agensi atau kegiatan mereka secara berkesan berikutan jumlah pendengar yang banyak.

Beliau berkata, sebanyak tujuh juta rakyat Malaysia mendengar siaran radio RTM terutama siaran Klasik Nasional dan amat sesuai dijadikan saluran untuk promosi tertentu.

Menteri Penerangan berkata, kakitangan jabatan dan agensi di bawah kementerian itu perlu mempunyai semangat yang kreatif dengan mengenepikan semangat "tidak boleh" terhadap sesuatu perkara.

"Sekiranya semangat "tidak boleh" menguasai mereka, banyak perkara yang tidak boleh dilakukan dan merugikan jabatan dan agensi itu sendiri".

Zainuddin juga berkata, dengan semangat "boleh" keluaran jabatan dan agensi kementerian itu seperti cakera padat digital (DVD) untuk program tertentu telah memasuki pasaraya Giant dan pasaran itu boleh diperluaskan ke pasar raya lain.Beliau berkata, kementerian itu juga akan meningkatkan saluran maklumat kepada orang ramai dengan mewujudkan "wall newspaper" di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara.

Melaluinya, orang ramai boleh mendapat maklumat mengenai perkembangan terkini dalam negara melalui keratan akhbar yang dipaparkan, katanya.

Beliau berharap melalui langkah itu, orang ramai akan mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan semasa dan tidak mudah terpengaruh dengan laman web tertentu terutama yang memaparkan sikap membenci kerajaana.

Bagaimanapun, beliau berkata, laman web menentang kerajaan tidak banyak mempengaruhi orang ramai dan keputusan-keputusan dalam beberapa pilihan raya kecil lalu jelas membuktikannya.Beliau juga mengumumkan pengambilan 222 pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) gred S41 untuk berkhidmat di kawasan Parlimen mulai tahun ini.
(BERNAMA)