Monday, May 7, 2007

Stesen Bas Tidak Setaraf Pengistiharan Majlis Perbandaran

Sungai Petani telah dinaikkan taraf kepada Majlis Perbandaran pada 2 Julai 1994 bersamaan 22 Muharram 1415H dan peristiharan ini telah disempurnakan oleh YAB Tan Seri Dato' Seri Haji Osman bin Haji Aroff Menteri Besar Kedah Darul Aman ketika itu.

Dengan kenaikan taraf ini, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap kawalan pembangunan, pelesenan, perancangan, penyediaan kemudahan infrastruktur dan sebagainya bagi memastikan kemajuan pembangunan bandar dan kemakmuran hidup penduduk bandar Sungai Petani dan Kuala Muda amnya.

Namun apa yang menyedihkan setelah 13 tahun berlalu sejak Majlis Daerah Kuala Muda (MDKM) dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) stesen bas ini tidak pernah berubah dan ada yang mendakwa keadaannya tetap seperti 40 tahun lalu tanpa sebarang kemudahan asas yang sepatutnya dilengkapkan disini.

Tinjauan kami ke stesen bas berkenaan mendapati dakwaan pengguna terbabit ada asasnya. Ruang menunggu di stesen bas ini terlalu sempit, panas dan tidak selesa.Tinjauan kami juga mendapati ramai penumpang terpaksa menunggu di kaki lima kedai-kedai berhampiran dan paling menyedihkan lagi bila penumpang terpaksa mengambil risiko dengan menjadikan sebuah bangunan yang pernah berlakunya kebakaran sebagai tempat menunggu.

Selain itu keadaan stesen bas ini juga dikatakan terlalu sibuk dan tidak lagi sesuai untuk menampung jumlah pengguna yang semakin bertambah.Justeru ramai yang ditemui mengharapkan pihak yang bertanggungjawab melaksanakan tanggungjawabnya dengan menyediakan kemudahan infrastruktur stesen bas berkenaan bagi menjamin keselesaan pengguna dan penduduk bandar ini sesuai dengan penarafannya sebagai Majlis Perbandaran Sungai Petani.