Saturday, May 12, 2007

RapidPenang Beroperasi 1 Ogos

PULAU PINANG(11 Mei)-RapidPenang akan memulakan perkhidmatan basnya di Pulau Pinang mulai 1 Ogos ini dengan menawarkan pengangkutan percuma untuk dua hari pertama operasinya, kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata syarikat itu akan menggunakan 150 bas baru meliputi semua jalan utama di Georgetown, Batu Feringghi, Balik Pulau dan di Seberang Perai.

"Tambang bermula dengan harga RM1 bagi satu hingga tujuh kilometer pertama dan tambahan 50 sen bagi setiap tujuh kilometer seterusnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Syarikat itu akan beroperasi setiap hari dari 6 pagi hingga 10 malam.

Nor Mohamed berkata dakwaan kononnya perkhidmatan bas itu akan tertangguh adalah tidak tepat dan kerajaan akan memastikan bahawa perkhidmatan itu akan beroperasi pada tarikh yang dijanjikan itu.

"Dakwaan kononnya RapidPenang sedang dilanda masalah adalah tidak benar," katanya.

RapidPenang adalah anak syarikat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan serupa dikenali RapidKL di Kuala Lumpur.

Nor Mohamed menyambut baik langkah kerajaan Pulau Pinang menubuhkjan jawatankuasa perhubungan bagi mendapatkan maklumat orang ramai mengenai perkhidmatan bas itu di Pulau Pinang.

"RapidPenang akan beroperasi berdasarkan maklumat dan kehendak rakyat Pulau Pinang dan ini adalah satu kebaikan," katanya.

Mengenai projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR), beliau berkata kerja pembinaan akan dimulakan selewat-lewatnya tahun ini.(BERNAMA)