Saturday, May 19, 2007

Pembuat Kereta Mewah Dijemput Tubuh Hab Rantau Di M'sia

BUKIT MERTAJAM-Para pembuat kereta mewah dunia dijemput untuk menubuhkan hab rantau mereka di Malaysia memandangkan kerajaan menawarkan insentif menarik untuk mereka menubuhkan perniagaan di negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz berkata demi kebaikan segmen kereta mewah, kerajaan telah memperkemas duti import bagi kenderaan penumpang 2,500cc dan ke atas sehingga 105 peratus mulai 1 Jan tahun ini.

Ini dilakukan bagi menggalakkan perkembangan segmen kereta terutama kereta mewah, katanya semasa melancarkan Pusat Porsche Pulau Pinang dan model baru Porshe Cayenne untuk pasaran utara di Juru Auto-city, di sini hari ini.

"Saya berharap Porsche akan melihat Malaysia sebagai berpotensi menjadi hab rantaunya pada masa depan dan saya juga ingin melihat jenama lain, seperti Ferrari juga melakukan perkara yang sama. Malaysia menjemput mereka ini untuk menjadikan negara kita sebagai hab mereka," katanya.

Pada masa ini, Porshe telah menubuhkan pejabat Asia Pasifiknya di Singapura.

Bagaimanapun, Rafidah berkata kereta-kereta import tidak akan menjejaskan kereta yang dipasang dan dibuat di negara ini termasuk kereta nasional."Kereta-kereta import ini lebih kecil bilangannya dan tidak dalam apa cara sekalipun menyaingi kereta-kereta tempatan. Mereka mempunyai kelas yang tersendiri," tambah beliau.

Sementara itu, Rafidah berkata perkembangan dalam industri automotif dunia adalah sangat menarik bukan sahaja daripada segi penggabungan di kalangan pembuat kereta dunia dan memilik negara pasaran, tetapi juga pengenalan amalan-amalan terbaik dalam industri berkenaan, meliputi keseluruhan rantaian nilai, daripada reka bentuk hinggalah ke pengeluaran dan khidmat selepas jualan.

Beliau berkata ciri-ciri baru yang dipasang pada automobil generasi baru, yang dapat dilakukan berdasarkan teknologi baru dan canggih seperti dalam bidang elektronik, akan memerlukan pendekatan-pendekatan baru dalam menservis kenderaan-kenderaan itu.

Pusat-pusat servis bukan sahaja perlu dilengkapkan dengan kelengkapan dan peralatan yang diperlukan, mereka juga mestilah dikendalikan oleh orang yang terlatih dan mempunyai pengetahuan terkini mengenai perkembangan terbaru dalam teknologi automotif.

Rafidah berkata kerajaan telah meluluskan 10 pelaburan dalam sektor automotif berjumlah RM206.2 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dan daripada jumlah itu, 92.6 peratus (RM191.1 juta) adalah pelaburan domestik manakala pelaburan asing sebanyak 7.4 peratus (RM15.1 juta).

Beliau berkata daripada 10 projek itu, enam adalah pelaburan baru dan empat lagi adalah projek pembesaran dan pempelbagaian.

Pada 2006, 49 projek telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM532.4 juta.Rafidah berkata bagi tempoh tiga bulan pertama 2007, jumlah eksport kereta (CBU) meningkat sebanyak 73.2 peratus kepada 5,801 unit daripada 3,349 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah import menurun sebanyak 35.2 peratus kepada 3,349 unit daripada 5,167 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas, tambah beliau.

Pada 2006, eksport kereta Malaysia (CBU) melebihi jumlah import sebanyak 4,637 unit. Eksport meningkat sebanyak 37.4 peratus kepada 17,944 unit daripada 13,062 unit pada 2005 manakala import menurun sebanyak 53.3 peratus kepada 12,862 unit daripada 27,523 unit pada 2005.

Destinasi eksport utama bagi kereta-kereta CBU ialah United Kingdom, Australia, Syria, Afrika Selatan dan Singapura.(BERNAMA)