Friday, May 11, 2007

Zainuddin Tegur Guru Malas Membaca

SUNGAI PETANI(10 Mei)-Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata ada sebilangan guru malas membaca dan ini menyebabkan mereka gagal membawa perubahan pemikiran pelajar.

Beliau berkata, walaupun guru berijazah sekalipun tetapi sekiranya mereka tidak membaca akhbar, majalah dan buku, guru berkenaan tidak mengetahui perkembangan yang berlaku dalam pelbagai bidang.
"Kerana kegagalan guru mempunyai maklumat yang cukup, pelajar mereka tidak dapat didedahkan dengan pelbagai perkara yang berlaku dalam pelbagai bidang.

Akibatnya pelajar tidak mengalami proses perubahan minda mahupun perkembangan minda," katanya semasa berucap pada majlis anugerah pelajar cemerlang sekolah menengah dalam kawasan Parlimen Merbok, di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok, dekat sini.

Zainuddin, yang juga Anggota Parlimen Merbok, berkata masalah guru yang tidak membaca perlu diatasi, dengan guru sendiri harus menerapkan minat membaca.

"Dalam era globalisasi ini setiap orang harus mempunyai maklumat yang luas bagi memperlengkapkan diri menghadapi masa hadapan.

Pelajar sekarang ini adalah generasi masa depan negara dan pada peringkat sekarang mereka harus dibekalkan dengan banyak ilmu bagi membolehkan mereka bersaing pada masa depan," katanya.
Pada majlis itu, 242 pelajar dari 12 sekolah yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima hadiah masing-masing.(BERNAMA)