Sunday, May 13, 2007

Saya Sihat. Jangan Bimbang, Kata Perdana Menteri

LUMUT-"Saya sihat. Jangan Bimbang," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menafikan dakwaan laporan yang disebarkan di internet kononnya beliau pengsan semasa menghadiri majlis jamuan rakyat dan perasmian Dataran Hadhari di Teluk Batik di sini tengah hari.

"Saya akan teruskan program-program yang telah diaturkan untuk saya," kata Perdana Menteri kepada pemberita di sini.

"Doktor tadi telah menjalankan bermacam-macam ujian termasuk ECG, darah dan tekanan darah dan kesemuanya adalah normal," katanya. Beliau diperiksa oleh doktor peribadinya Dr Sanjiv Joshi.

Semasa menyerahkan kunci kepada sembilan penerima rumah program Khidmat Bakti BNBBC pada majlis kenduri rakyat di Teluk Batik, Perdana Menteri tiba-tiba hilang keseimbangan badan dan hampir terjatuh dan sempat dipegang oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan pemangku Pengerusi BNBBC Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Abdullah yang tiba di sini untuk menyertai Program Khidmat Komuniti dan menutup Program Permukiman Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) 2007, sebelum itu menyertai anggota BNBBC dalam kerja gotong royong membina tiga buah rumah penduduk yang menerima bantuan di bawah Program Khidmat Komuniti di Kampung Tanjung Burung, Ujung Pasir di Pantai Remis.

Perdana Menteri kemudian meneruskan kerja gotong-royong dengan menanam pokok di Kampung Batu 4, Segari dekat sini sebelum ke Teluk Batik untuk menutup Program Khidmat Komuniti dan menyertai kenduri rakyat.

Pada majlis bergotong royong itu Abdullah turut menyertai kerja-kerja mengecat dan memasang cermin tingkap salah sebuah rumah terbabit.

Perdana Menteri berkata keadaan dirinya itu mungkin disebabkan cuaca hari ini begitu panas dan semalam beliau kurang tidur.

"(Setelah diperiksa doktor) saya sendiri rasa lega. Saya sendiripun risau. Syukur pada Allah," katanya.

Menceritakan apa yang berlaku, Abdullah berkata setelah selesai berucap, beliau duduk di atas pentas dan semasa diminta menyampaikan kunci kepada para penerima, ketika itu beliau berasa letih.

Sementara itu, Dr Sanjiv berkata keadaan yang dialami Abdullah itu adalah "berpunca daripada keletihan akibat cuaca panas.

"Selepas pemeriksaan menyeluruh, keadaan kesihatan Perdana Menteri didapati adalah baik dan tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya.

Dr Sanjiv berkata keletihan akibat cuaca panas boleh menyerang sesiapa sahaja kerana suhu pada ketika itu dilaporkan 44 darjah Celcius.

"Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali nampak saya tidak berapa elok. Saya terus duduk. Setelah berasa lega saya sambung balik beri kunci pada para penerima," katanya.

Abdullah berkata selepas itulah baru doktor peribadinya membuat pemeriksaan ke atas dirinya dan mendapati keadaannya baik.Kepada soalan pemberita sama ada beliau berasa nak pitam pada waktu itu, Abdullah berkata: "Tidak".

Ditanya bagaimana keadaannya sekarang, Abdullah berkata "Tak ada apa-apa. Jangan bimbang. Saya sendiri jaga kesihatan saya. Dan akan meneruskan program malam ini".

Sementara itu, Raja Ahmad Zainuddin berkata beliau sendiri berada di majlis itu dan dakwaan kononnya Perdana Menteri pengsan adalah tidak benar.

"Saya sendiri ada di atas pentas. Perdana Menteri tidak pengsan seperti yang dilaporkan oleh blog. Perdana Menteri cuma duduk seketika setelah berasa penat dan ketika itu cuaca memang cukup panas sampai 44 darjah celsius."Saya hairan bagaimana boleh tersebar cerita kononnya Perdana Menteri pengsan sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali," katanya.

Malam ini, Abdullah menghadiri majlis penutupan Permukiman BNBBC 2007 di sini dan dijadual berlepas pulang ke ibu negara esok.

Program Permukiman BNBBC selama empat hari, yang bermula Jumaat disertai kira-kira 100 anggota Parlimen BN dan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) BN Perak.

Antara aktiviti yang diadakan ialah meninjau pembangunan di Perak, dialog bersama pemimpin Barisan Nasional (BN), program khidmat komuniti serta sukan.Sementara itu, ketika berucap menutup program pemukiman BNBBC di Pangkor Laut Resort, di Pangkor, Abdullah mengulangi cerita mengenai apa yang berlaku siang tadi.

"Tadi bukan apa-apa, panas terik sangat. Itu yang rasa tak sedap sikit," katanya.Abdullah berkata setelah mendapat rawatan, doktor meminta supaya beliau tidak bermain golf selepas majlis siang tadi walaupun kesihatannya baik.

"Doktor kata `you have to rest' pasal kerja kuat sangat," katanya.

Sehubungan itu, Abdullah meminta wakil rakyat supaya bekerja secara bijak dengan memberi masa yang berkualiti kepada rakyat dan dalam masa yang sama mereka juga perlu menjaga kesihatan.

"Wakil rakyat kena sihat kalau tidak nanti ada by-election (pilihan raya kecil)," kata Abdullah secara berseloroh.

Beliau berkata adalah menjadi tugas dan tanggungjawab wakil rakyat untuk mendengar masalah rakyat dan bersungguh-sungguh dalam membantu mereka.Perdana Menteri akan menghadiri majlis dialog tertutup dengan BNBBC di Pangkor Island Resort pagi esok.(BERNAMA)