Tuesday, May 15, 2007

Dr Mahathir Dipindahkan Ke IJN Dari Langkawi

LANGKAWI-Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dimasukkan ke Hospital Langkawi semalam selepas mengadu sesak nafas, diterbangkan ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas hari ini untuk menerima rawatan lanjut di Institut Jantung Negara.

Pegawai akhbarnya, Sufi Yusoff berkata, bekas perdana menteri itu telah menunjukkan tindak balas positif terhadap rawatan yang diberikan oleh sekumpulan doktor pakar dari IJN, Hospital Langkawi dan Hospital Alor Star.

"Kumpulan doktor ini berpuas hati dengan tindak balas positif itu dan yang demikian beliau boleh dipindahkan ke IJN," kata Sufi.

Di Kuala Lumpur, sejurus tiba di IJN dengan sebuah ambulans dari lapangan terbang di Subang pada 1.15 petang, Dr Mahathir dibawa masuk melalui pintu belakang hospital itu. Puluhan wartawan dan jurugambar menunggu ketibaan beliau menyebabkan berlaku perebutan dalam kalangan jurugambar.

Beliau diiringi ke wad di tingkat satu oleh Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Mohd Radzif Mohd Yunus, bersama isteri bekas perdana menteri itu, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali dan anak mereka, Datuk Mukhriz.Bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali, memberitahu pemberita selepas melawat Dr Mahathir, bahawa bekas pemimpin negara itu kini kelihatan letih mungkin kerana menghadiri terlalu banyak program sejak empat hari lepas termasuk di Kelantan.

"Saya nampak muka Tun masih merah dan yakin dia berada dalam keadaan sihat," katanya.Dr Mahathir tiba di Langkawi semalam bersama Dr Siti Hasmah untuk lawatan peribadi selama dua hari dan mengadu sesak nafas di hotel penginapannya yang terletak di pinggir pantai di sini.

Beliau kemudiannya dibawa oleh doktor peribadinya, Dr Nasir Muda, dengan kereta ke Hospital Langkawi pukul 3.50 petang dan dimasukkan ke di Unit Rawatan Rapi hospital itu.

Sebelum tiba di Langkawi, Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah, berada di kawasan percutian Bukit Merah, Perak, sejak Khamis lepas untuk menghadiri majlis perjumpaan dengan rakan-rakan pelajar "Class of 47" King Edward College of Medicine, Singapura.

Seorang lagi anak Dr Mahathir, Datuk Mokhzani, berkata ayahnya mungkin dibenarkan keluar dari IJN dalam tempoh beberapa hari lagi kerana keadaannya kini stabil.

"Bila ayah saya akan keluar bergantung kepada keputusan doktor yang merawatnya," katanya.

Beliau berkata Dr Mahathir kini dirawat di bilik Unit Rawatan Koronari (CCU)."Dia ada bercakap dengan kami dan minta makanan sebab lapar," katanya.

Mokhzani berkata bahawa pada hari ini IJN tidak membenarkan sesiapa melawat bapanya kecuali keluarga terdekat.

"Saya bagi pihak keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengambil berat dengan menelefon dan bertanya khabar mengenai ayah saya," katanya.(BERNAMA)