Thursday, May 24, 2007

Majlis Penutup Pertandingan Sukan Air PLKN

Sebanyak enam pusat PLKN di Kedah menyertai pertandingan Sukan Air Peringkat Zon Selatan yang melibatkan Kem PLKN Bukit Besar, Rimba Takwa Sik, Kem rekreasi Belia Baling, Damai Park resort, Dusun Muda Resort dan Kem Jelapang yang berlangsung di Pusat Rekreasi Belia Baling, Kampung Sungai Limau.Dalam pertandingan tersebut sebanyak enam acara dipertandingkan iaitu Kayak individu wira, kayak individu wirawati, kayak berpasukan wira dan wirawati dan rakit wira dan wirawati.

Pengerusi Putera Umno Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abd Rahim yang ditemui semasa merasmikan majlis penutup Pertandingan Sukan Air itu berkata tanggungjawab semua pelatih sangat besar kepada negara kerana merekalah yang menjadi pelapis dan pewaris Negara pada masa depan.

Dengan semangat jati diri yang diterap kepada mereka selama tiga bulan ketika mengikuti kursus di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), banyak pengalaman dan pengisian ilmu yang diperolehi mereka untuk menjadi manusia yang berbakti kepada negara pada masa depan. beliau juga mengingatkan kepada peserta supaya jangan menganggap menyertai PLKN semata-mata kerana terpaksa, tetapi sebaliknya adalah untuk melahirkan mereka menjadi manusia yang berbakti kepada masyarakat dan Negara.

Menurutnya lagi Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang banyak semata-mata untuk memberi ilmu yang berguna ketika mereka menyertai PLKN dan mendidik mereka supaya tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat selepas tamat kursus itu.Kerajaan juga meletakkan harapan yang tinggi melalui program PLKN ini untuk melahirkan pelapis yang benar-benar sayangkan tanahair sendiri dan berharap mereka dapat menjadi model kepada rakan-rakan yang lain di kampung setelah tamat kursus nanti.

Dalam pada itu beliau juga menyarankan pada itu semua pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) diminta mendaftar sebagai ahli pemilih dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) apabila usia mereka menjangkau 21 tahun bagi menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara.
Sementara itu beberapa pelatih yang ditemui berita tv9 berkata, mereka sangat gembira kerana diberi peluang menyertai Pusat Latihan ini,disamping dapat mengikuti latihan yang disediakan mereka juga dapat menimba pengalaman baru yang tidak pernah mereka lalui sebelum ini.