Friday, November 18, 2011

Sukan SEA : Malaysia Menang 1-0 Dengan Indonesia

JAKARTA(17 Nov)Jaringan tunggal Syahrul Azwari Ibrahim sudah cukup untuk mematahkan ego Indonesia pada saingan terakhir kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno di sini, untuk bertemu Myanmar pada saingan separuh akhir Sabtu ini.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia memintas pendahulu kumpulan A, Indonesia, dengan kelebihan satu mata untuk muncul juara kumpulan dengan memungut 10 mata.

Malah kemenangan itu dilihat memberi laluan mudah buat skuad bawah-23 bertemu naib juara kumpulan B, Myanmar, sementara tuan rumah terpaksa berpuas hati bertemu Vietnam, yang merupakan naib juara bola sepak Sukan SEA 2009 edisi Vientiane, Laos.

Skuad tuan rumah pastinya akan menerima tamparan daripada penyokong fanatik yang selama ini mahu 'mengganyang' Malaysia dalam apa jua perlawanan bola sepak.

Beraksi di depan kira-kira 100,000 lautan merah penyokong tidak melemahkan anak buah Ong Kim Swee apabila terlebih dahulu melakukan banyak gerakan menarik sebaik babak pertama bermula, selain tidak menunggu lama untuk jaringan pertama oleh pemain tengah gantian, Syahrul Azwari.

Pemain berusia 18 tahun itu, yang masuk padang selang empat minit menggantikan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-13, mudah merembat kencang menewaskan penjaga gol Indonesia Andritany Ardhiyasa, hasil serangan balas sukad negara pada minit ke-17.

Malah corak hantaran jauh untuk membuka ruang dan gerakan pantas yang dipamerkan skuad anak didik Kim Swee ini jelas banyak memberi kelebihan buat mereka untuk mengatur lebih banyak serangan balas.

Tiga serangkai pemain hadapan negara, Izzaq Faris Ramlan, Syahrul Azwari dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar cekap mengganggu gawang lawan menerusi kekuatan serangan balas namun beberapa peluang terbaik untuk menambah gol Malaysia gagal menemui penyudah sehingga babak pertama tamat.

Bagaimanapun, penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat dan pemain pertahanan dipaksa bekerja keras sebaik babak kedua bermula, yang menyaksikan permainan lebih agresif dipamerkan Indonesia dalam usaha mencari gol penyamaan.

Ejekan berterusan penonton terhadap pasukan negara tidak membawa kesan atau melemahkan semangat pasukan negara, sebaliknya mereka lebih bermotivasi semasa beraksi.

Bagaimanapun, perhatian teralih kepada Kim Swee, yang menimbulkan kontroversi apabila memarahi penjaga garisan kerana tidak peka apabila Syahrul Azwari dijatuhkan pemain lawan di depan pengadil itu.

Oleh kerana kelantangan suaranya, beliau diarahkan ketua pengadil keluar padang.

Peluang terbaik negara hadir pada babak terakhir, namun Izzaq Faris gagal mengambil peluang tersebut untuk menambah gol kedua kerana lariannya sering dikawal hinggakan membataskan pergerakan pemain itu.

Indonesia terus melancarkan serangan ke atas Khairul Fahmi yang mempamerkan aksi cemerlang mengawal gawang negara setelah dipaksa bekerja keras pada babak kedua bagi mengekang setiap asakan pemain.

Mengulas kemenangan bermakna itu, Kim Swee memuji semangat pemain yang tetap tenang walaupun beraksi di depan lautan merah penyokong itu.

"Apa yang kita capai hari ini berbaloi dengan kesungguhan pemain yang beraksi bermati-matian untuk memburu kemenangan demi kemenangan bagi memastikan pingat emas bola sepak tetap menjadi milik kita.

"Saya bangga dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan pemain sehingga tamat permainan kerana mereka menunjukkan peningkatan dari perlawanan pertama hinggalah hari ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih Indonesia Rahmad Darmawan berkata beliau tidak ada alasan terhadap kekalahan pasukannya kerana Malaysia bermain lebih baik.

"Mungkin ramai penonton yang kecewa tetapi kita akan tebus kembali di separuh akhir nanti," katanya.-BERNAMA

Indonesia 0-1 Malaysia [SEA Games 2011] Syahrul Azwari Goal


Indonesia vs Malaysia [0-1] SEA Games 2011 | 1st Half Highlight


Malaysia 1-0 Indonesia [SEA Games 2011] Highlight


Sumber video dari sokernet.com

Monday, January 24, 2011

Datuk Misbun Memberi Sokongan Penuh - Chong Wei


KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan kali ketujuh Kejohanan Badminton Terbuka Proton Malaysia Siri Super 2011 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini Ahad.

Beliau yang berumur 28 tahun berasal dari George Town, Pulau Pinang ini mengambil masa hanya 37 minit untuk menundukkan pemenang pingat emas Olimpik Athens 2004 Taufik Hidayat dari Indonesia 21-8, 21-17.

Pada set pertama Chong Wei kerap bermain di jaring sehingga memaksa Taufik melakukan kesilapan.

Kecuaian Taufik yang sering menghantar bulu tangkis ke luar gelanggang turut membantu Chong Wei mengumpul mata.

Pada set kedua, Taufik, yang berada pada kedudukan 8-18, meraih sembilan mata berturut-turut untuk merapatkan kedudukan dengan Chong Wei 17-18.

Chong Wei, bagaimanapun, tidak memberi peluang kepada Taufik untuk terus bangkit.

Pukulan kencang bertalu-talu Chong Wei gagal disambut sempurna oleh Taufik sekali gus memberi tiga mata terakhir kepada perseorangan nombor satu dunia itu.

"Saya memang bersungguh-sungguh kali ini kerana saya merupakan satu-satunya pemain Malaysia yang tinggal (dalam perlawanan akhir). Saya mahu kejuaraan ini kekal pada Malaysia," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Chong Wei berkata beliau juga lebih bersemangat berikutan kehadiran jurulatih perseorangan Datuk Misbun Sidek.

"Dia (Misbun) mungkin tahu saya berada di bawah tekanan untuk menang, jadi dia datang dan beri motivasi pada saya.

"Dia ada beritahu saya 'awak beraksi dengan baik dan awak berlatih bersungguh-sungguh, jadi hari ini awak akan dapat keputusan yang baik'," katanya.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu isteri Perdana Menteri dan Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Rosmah juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Chong Wei, yang sebelum ini memenangi gelaran itu pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010 membawa pulang wang tunai RM91,800.

-- BERNAMA

Sunday, January 2, 2011

Misbun Letak Jawatan


PARIT BUNTAR-Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada pihak terlibat berhubung peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek sebagai jurulatih perseorangan badminton negara.

Beliau yang terkejut dengan laporan itu berkata ketika dihubungi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan kepadanya bahawa tidak ada alasan diberikan Misbun.

"Jadi, apabila tiada alasan kemungkinan Misbun mempunyai alasan tersendiri. Saya akan dapatkan maklumat daripada BAM, kebetulan pula Presidenya (Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh) berada di luar negara. Saya akan tunggu laporan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita, di sini Ahad.

Ahmad Shabery diminta mengulas laporan sebuah akhbar hari ini yang memetik Pengurus Besar BAM, Kenny Goh sebagai mengesahkan Misbun meletakkan jawatan menerusi satu surat bertarikh 31 Dis yang dihantar melalui emel ke pejabat BAM.

Goh bagaimanapun tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata beliau juga akan mendapatkan penjelasan daripada Misbun bagi mengenal pasti punca sebenar bekas jaguh badminton negara itu bertindak demikian.

"Apakah keadaan sebenar yang berlaku, apakah peletakan jawatan itu biasa atau ada perkara yang tidak kena dalam pengurusan terutama dalam program latihan yang ditentukan.

"Ini kerana saya sangat percaya apapun tindakan yang dilakukan oleh Misbun adalah berasaskan kepada kepentingan negara kerana kepentingan negara mesti diletakkan di atas segala-galanya," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan meminta Misbun menangguhkan peletakan jawatan itu, Ahmad Shabery berkata beliau perlu mendengar penjelasan kedua-dua pihak sebelum mengambil sebarang tindakan.

Bagaimanapun kata Ahmad Shabery, pihaknya akan memastikan prestasi badminton negara tidak terjejas sekiranya Misbun tetap dengan keputusannya.

Beliau juga memberi jaminan persiapan 'Road To London' juga akan diteruskan seperti biasa.

Mengenai kebimbangan beberapa pemain akan menarik diri daripada BAM berikutan tindakan Misbun, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan itu.

Menerusi bimbingan Misbun, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan All England tahun lepas serta meraih pingat emas pada Temasya Olimpik Beijing 2008. Misbun juga membimbing Mohd Hafiz Hashim ketika menjuarai All England pada 2003.(BERNAMA)