Friday, August 10, 2007

Konvoi Kembara Merdeka Berlepas Ke Perak

KANGAR(9 Ogos)- Selepas berehat sehari di Perlis semalam, konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2007 hari ini berlepas ke Perak bagi membawa misi patriotisme sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.
Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Ismail Othman melepaskan lebih 130 peserta KMJG 2007 yang menggunakan 50 kenderaan pacuan empat roda itu di hotel Putra Palace di sini.
Konvoi itu tiba di Perlis pada Selasa bagi mengadakan beberapa kegiatan sepanjang hari manakala semalam mereka berehat sebelum meneruskan perjalanan hari ini sambil melaksanakan beberapa kegiatan termasuk mengagihkan Jalur Gemilang.
Malam ini, para peserta konvoi itu akan bermalam di Gerik, Perak sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Baharu, Kelantan esok.Konvoi KMJG itu yang memulakan perjalanan mereka pada 29 Julai lalu akan menamatkan perjalanan di Ayer Keroh, Melaka pada 17 Ogos ini.(BERNAMA)

Thursday, August 9, 2007

Meningkatkan mutu Badan Pencegah Rasuah

Kepala Batas - Dato Haji Ahmad Said Bin Hamdan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR) pagi tadi merasmikan majlis Penutup Pemantapan Jatidiri Rakan Muda di Dewan Perbadanan Produktiviti Negara (NPC), Kepala Batas. Program ini khusus untuk golongan muda yang akan memegang jawatan-jawatan penting kerajaan atau swasta dalam membawa masa depan Negara.

Dalam ucapannya beliau berkata sebelum ini BPR hanyalah sebuah unit kecil yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pencegahan khususnya ceramah.Pada masa itu juga siasatan kes-kes rasuah dijalankan oleh Cawangan "Special Crime" yang diletakkan di bawah Jabatan Polis manakala pendakwaan kes-kes rasuah dikendalikan oleh Bahagian Pendakwaan, Kementerian Undang-Undang.

Dalam sidang medianya, beliau tidak menafikan yang segelintir pegawai penguatkuasa Badan Pencegah Rasuah melewat-lewatkan penyiasatannya dalam menyelesaikan kes-kes yang berkenaan intitusi kerajaan, dan akan selalu membuat pemantauan berhubung perkara tersebut. BPR bukan sekadar badan yang melibatkan kewangan semata-mata tetapi juga sebagai satu badan membenteras Jenayah.

Menurut beliau lagi pemberi rasuah melebihi dari penerima rasuah dengan seramai lebih 300 orang pemberi daripada penerima rasuah. Rasuah adalah penyakit sosial paling buruk. Ia boleh menghapuskan sistem pentadbiran yang baik, melemahkan institusi, undang-undang dan menghalang perkembangan ekonomi.

Majlis yang dihadiri 50 peserta rakan muda tersebut telah belangsung selama 3 hari menutup tirainya hari ini dengan penyerahan sijil penyertaan.

Saturday, August 4, 2007

Kedah, Perak Tekad Rangkul Juara Liga Super

ALOR STAR - Kedah dan Perak yang kini bersaing sengit untuk memburu gelaran juara Liga Super bertekad untuk berjuang habis-habisan apabila menentang pencabar masing-masing esok.
Oleh kerana esok merupakan hari terakhir perlawanan dalam jadual Liga Super, Kedah yang berbekalkan kelebihan dua mata berbanding Perak, perlu menang ke atas Brunei di tempat lawan manakala Perak yang akan bertandang ke Kuching, juga mesti mencapai kemenangan ke atas Sarawak untuk menghidupkan harapan mereka.
Kedah yang membenam Negeri Sembilan 7-0 dua hari lalu kini berada di puncak liga dengan memperolehi 52 mata manakala Perak yang sebelum ini menerajui liga tercicir ke tempat kedua dengan mengumpul 50 mata, setelah seri 1-1 dengan Terengganu, sekaligus menjejaskan sedikit harapan mereka untuk menjadi juara.
Apapun, lawan Kedah, iaitu Brunei, yang menduduki tempat ketiga dengan 44 mata bukanlah pasukan yang mudah ditewaskan, lebih-lebih lagi di gelanggang sendiri.
Orang yang pertama menyedari hakikat itu adalah pengurus pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz.
"Ini adalah misi terpenting dan yang paling berat sepanjang musim ini. Kedah tewas 1-2 pada pertemuan sulung dengan Brunei di Stadium Darul Aman dan saya berharap `badi' itu tidak akan berulang di Bandar Seri Begawan," katanya.Beliau juga menyedari bahawa walaupun Kedah berbekal kelebihan dua mata, Perak yang menentang Sarawak di Kuching pada waktu yang sama masih mempunyai peluang, jika keputusan tidak memihak kepada Kedah.
"Walaupun tanpa empat pemain yang kini menyertai pasukan kebangsaan, persembahan pemain-pemain Kedah amat meyakinkan saya bahawa mereka mampu untuk merobek pertahanan Brunei sekaligus memenangi tiga mata penuh," kata Othman.
Beliau berkata harapan tetap disandarkan kepada penyerang tempatan walaupun penyerang import Marlon Alex James masih membuktikan kewibawaan sebagai penjaring utama.
Katanya kemantapan permainan Kedah lebih terserlah selepas berehat selama sebulan ekoran kejohanan Piala Asia berlangsung di negara ini.
Di Ipoh pula, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Perak Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah mengharapkan Brunei mencipta kejutan dengan mengatasi Kedah, di samping mahukan pemain Perak sendiri berjuang habis-habisan semasa menentang Sarawak.
"Pemain yang berlepas ke Kuching hari ini telah diterap semangat `mesti menang' kerana hanya kemenangan boleh menghidupkan harapan Perak untuk menjuarai Liga Super.
"Posisi kita akan banyak bergantung kepada keputusan perlawanan antara Kedah dan Brunei, namun bagi kita, tiada jalan lain melainkan memburu kemenangan untuk memastikan peluang sendiri.
"Ini kerana, jika Kedah kalah dan Perak seri atau kalah, maka Kedah masih akan dinobat sebagai juara liga, katanya.(BERNAMA)