Sunday, June 24, 2007

Keturunan Daeng Paroni Gembira Dengan Pengesahan Kubur Pahlawan

SUNGAI PETANI-Keluarga keturunan pahlawan Bugis terkenal Daeng Paroni yang menetap di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri di sini gembira dengan pengesahan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah mengiktiraf sebuah kubur lama di kampung Ekor Lubuk, sebagai makam pahlawan yang meninggal 282 tahun lepas.
Setiausaha Persatuan Warisan Keturunan Daeng Paroni, Roshazliza Abdul Razak berkata Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah mengesahkan kubur lama di kampung Ekor Lubuk sebagai kubur Daeng Paroni pada Selasa lepas setelah keturunan pahlawan itu mengambil inisiatif mengesan kubur Daeng Paroni.
"Selepas warisnya berjaya mengesan perkuburan Daeng Paroni dan sekarang ia diiktiraf sebagai kubur beliau, kami sebagai keturunannya sangat gembira," katanya di sini hari ini.
Anggota keluarga keturunan pahlawan Bugis turut menetap di beberapa daerah lain di Kedah dan Perak.Roshazliza berkata sebelum ini terdapat beberapa catatan menyebut pahlawan itu dikebumikan di Makam Diraja Langgar, di Kedah dan di Pulau Semantan, Riau.
"Pengesahan itu sudah tentu membanggakan kami yang menetap di kampung berkenaan," katanya.Mengikut catatan sejarah Daeng Paroni adalah keturunan lima wira bersaudara dari Kepulauan Riau. Beliau dan saudara yang lain Daeng Menambun, Daeng Chelak, Daeng Kemasi dan Daeng Merewah dijemput oleh Sultan Kedah ketika itu, Sultan Mohamad Jiwa untuk membantu mengembalikan takhtanya.
Dalam peperangan yang pertama, Daeng Paroni berjaya mengalahkan musuh iaitu Raja Kecil, tetapi Daeng Paroni dibedil pada serangan yang kedua dan meninggal di Pinang Tunggal pada 1724.
(Dalam sesetengah catatan pahlawan itu disebut sebagai Daeng Perani, tetapi persatuan itu menyatakan nama sebenarnya adalah Daeng Paroni).Roshazliza, 27, generasi kesembilan keturunan itu berkata waris keturunan Daeng Paroni dan empat lagi saudaranya itu menetap di beberapa negara termasuk Indonesia.
Roshazliza berkata persatuan akan mengadakan perjumpaan keluarga secara besar-besaran tidak lama lagi dan mahu anggota keturunan lima bersaudara itu menghadirinya.
Generasi pahlawan itu yang berminat menyertai perjumpaan keluarga itu boleh menghubungi Roshaliza di talian 012-579 1984 untuk maklumat lanjut.(BERNAMA)

Kelab Pencegah Jenayah

Sungai Petani-Statistik kadar jenayah di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang semakin meningkat setiap tahun mendorong Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia mengambil inisiatif dengan mewujudkan Kelab Pencegahan Jenayah di setiap sekolah.

Sejak mendapat persetujuan daripada Kementerian Pelajaran pada tahun 1999 hingga kini, sebanyak 1470 buah Kelab Pencegahan Jenayah telah ditubuhkan di sekolah-sekolah seluruh negara.

Karnival Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah-sekolah Daerah Kuala Muda/Yan, Kedah yang dirasmikan oleh Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Dato’ Lee Lam Thye di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar, Sungai Petani siang tadi berjaya mengumpulkan ahli-ahli Kelab Pencegahan Jenayah dari kesemua 33 buah sekolah di daerah tersebut.

Tan Sri Dato’ Lee Lam Thye bersama Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hashim Ali turut melawat gerai-gerai pameran oleh agensi-agensi penguatkuasa seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam sidang media selepas merasmikan karnival tersebut, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Dato’ Lee Lam Thye berkata objektif utama Kelab Pencegahan Jenayah ini adalah tertumpu kepada penekanan aspek pendidikan dan pencegahan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar-pelajar sekolah mengenai bahayanya terlibat dengan aktiviti jenayah.

Saturday, June 23, 2007

256 Pasukan Sertai Kejohanan Bola Sepak Piala PM

KEPALA BATAS-Sebanyak 256 pasukan akan mengambil bahagian pada kejohanan bola sepak Sembilan Sebelah Terbuka Piala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi kali ketiga di sini 8 Julai ini.


Kejohanan sehari itu dianjurkan oleh Pemuda Umno bahagian Kepala Batas turut disertai dua pasukan dari selatan Thailand.


Setiausaha kejohanan Mohd Sukor Md Yusoff berkata Kedah menghantar 100 pasukan, Pulau Pinang (84), Kelantan (16), Perak (14), Kuala Lumpur (12), Selangor (9), Johor dan Terengganu (4), Perlis dan Negeri Sembilan (3), Pahang, Sabah, Thailand (2) dan Melaka (1).


Hulubalang FC dari Melaka merupakan juara bertahan. Sebanyak 16 padang bola di sekitar Seberang Perai Utara akan digunakan untuk kejohanan itu.


Mohd Sukor berkata juara akan membawa pulang wang tunai RM13,000, piala pusingan, manakala naib johan dan pememnang ketiga masing-masing akan menerima RM7,000 dan RM5,000.


Beliau berkata perdana menteri yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas akan menyaksikan perlawanan akhir di Kompleks Sukan Bertam di sini dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.(BERNAMA)